Pemerkasaan pedagogi PdP elemen penting
KENINGAU: Pemerkasaan pedagogi pengajaran dan pembelajaran (PdP) merupakan elemen penting dalam usaha meningkatkan kualiti pengajaran di dalam bilik darjah.
Pengajaran yang berkualiti terjadi apabila maklumat yang disampaikan boleh diterima, menarik minat dan mudah untuk diingati serta dilakukan oleh pelajar.
Bertindak atas kesedaran ini, maka Jabatan Pengajian dan Agama Islam dan Moral (Japim) IPG Kampus Keningau tampil mengelolakan Bengkel Profesionalisme Guru Pendidikan Moral, di sini.
Bengkel yang berlangsung selama dua hari itu dihadiri kira-kira 60 peserta, terdiri daripada guru Pendidikan Moral sekitar daerah ini serta siswa pendidik.
Bengkel adalah sebahagian perancangan kolaborasi pintar yang dijayakan secara bersama Unit Kemasyarakatan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Keningau. Kolaborasi pintar bukan sahaja melahirkan guru yang kompeten dan berkualiti dalam subjek, malah mampu menyuntik semangat dalam kalangan guru untuk menggerakkan emosi dan tingkahl aku pelajar ke arah yang lebih baik.
Penyelaras program Wan Kamarulzaman Wan Yusoff berkata program itu bertujuan memberi pendedahan dan penyebaran terkini tentang Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) mata pelajaran Pendidikan Moral, selain memperkayakan ilmu dan kemahiran dalam pedagogi mata pelajaran itu.
“Sebagai sebuah institusi latihan guru di daerah ini, kami terpanggil dalam usaha merekayasa perkhidmatan keguruan, bagi memacu gelombang transformasi pendidikan yang sedang berlaku kini.
“Pelbagai usaha dilakukan di peringkat pra perkhidmatan atau perkhidmatan, termasuklah menambah pengetahuan serta kemahiran guru Pendidikan Moral agar proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah mampu direalisasikan mengikut acuan yang dikehendaki oleh DSKP,” katanya semasa merumuskan bengkel itu.
Bengkel itu menampilkan dua penceramah tersohor, masing-masing mempunyai kepakaran serta pengalaman luas dalam topik yang dikongsi.
Input penyebaran Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan DSKP Mata Pelajaran Pendidikan Moral telah disampaikan oleh Jurulatih Utama Mata Pelajaran Jaycinth Yap Kwee Lian sementara, Donatus Justin yang juga pensyarah IPGK Keningau berkongsi mengenai strategi PdP mata pelajaran berkenaan.
Kedua-duaslot berlangsung penuh harmoni, penglibatan serta respon peserta dalam setiap aktiviti bengkel amat baik serta seolah-olah mereka sudah lama dahagakan bengkel seumpama itu diadakan.
Peserta menyifatkan bengkel itu merupakan sesi ‘checklist’ kekuatan dan kelemahan pengajaran mereka di kelas, sekali gus mendatangkan idea baharu dalam menambahbaik kualiti pengajaran di bilik darjah.
“Ternyata bengkel ini memberi input secara langsung pakar kepada para peserta, di mana mereka berpeluang menguasai kemahiran pengajaran yang berkesan” kata Ting Hua Jian, pengarah bengkel itu.
Penutupan bengkel disempurnakan oleh Ketua Jabatan Pengajian Islam dan Moral, IPG Kampus Keningau Dr Saidah Khadijah Ahmad.
Dalam ucapannya, beliau menyifatkan kolaborasi pintar IPG dengan PPD sebagai hadiah istimewa bagi warga pendidik pedalaman seperti Keningau bagi memperkasakan lagi pengajaran guru di bilik darjah.
“Bengkel seumpama ini perlu diteruskan lagi pada masa-masa akan datang demi menjaga kelangsungan era pendidikan yang lebih unggul selaras dengan anjakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025),” katanya.
Turut hadir di majlis penutupan itu ialah Ketua Unit Kemasyarakatan PPD Keningau Ustaz Mahmud Saion.