Adun Klias berbuka puasa bersama jemaah Masjid Nur Hidayah
BEAUFORT. Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klias Datuk Isnin Hj Aliasneh berkesempatan membuat ziarah ke Masjid Nur Hidayah Kampung Klias Kecil untuk majlis berbuka puasa bersama ahli jawatankuasa masjid berkenaan.
Menurut Pengerusi Masjid Nur Hidayah Kg Klias Kecil Hj Mokhtar Hj.Maslin, kunjungan ia adalah kunjungan Isnin yang pertama sekali dilaksanakan bersempena bulan Ramadan tahun 2018 pada Sabtu.
“Selaku pengerusi masjid di kampung ini, kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Hj Isnin Aliasneh kerana meluangkan masa bersama kami,” katanya.
Katanya kunjungan Adun ke Masjid Kampung Klias Kecil telah memberikan peluang kepada beliau untuk menyampaikan beberapa sumbangan kepada Jawatankuasa Masjid untuk digunakan di bulan Ramadan dan beliau juga berkesempatan menyumbangkan bantuan kepada golongan asnaf di kawasan berkenaan.
Beliau menambah, kunjungan itu juga dapat mengeratkan hubungan silaturrahim di antara jemaah masjid dan ahli jawatankuasa yang telah diberikan tanggungjawab menguruskan pentadbiran masjid.
“Bersesuaian dengan bulan yang mulia ini, amalan ziarah menziarahi di antara satu sama yang lain adalah sangat dituntut dalam agama, lebih-lebih lagi apabila menghulurkan sedekah kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Mokhtar berharap semoga semua jemaah masjid dapat mengambil iktibar dan sentiasa memperbanyakkan amalan bersedakah di bulan Ramadan.