Ortega terus berpaut pada kuasa
Keganasan terbaharu jejas Nicaragua, warga AS antara enam maut
MASAYA: Penunjuk perasaan di Nicaragua melepaskan bom mortar buatan sendiri untuk menangkis operasi polis kelmarin dalam pergolakan baharu yang mengorbankan sekurang-kurangnya enam orang, termasuk seorang warga Amerika Syarikat (AS), tatkala Presiden Daniel Ortega terus tidak mengendahkan seruan pembangkang agar beliau meletak jawatan.
Namun Ortega, orang yang sudah mendominasi politik di negara Amerika Tengah itu sejak empat dekad lalu, kelihatan tidak peduli mengenai tunjuk perasaan antikerajaan selama tujuh minggu yang sudah mengorbankan lebih 100 orang dan kini semakin ganas.
Di bandar Masaya, dahulu kubu kuat bagi sokongan untuk pergerakan haluan kiri Ortega, Sandinista, penduduk memasang perintang untuk menyekat polis rusuhan dan melindungi diri mereka daripada apa yang mereka sebut sebagai penembak hendap separa tentera dan polis yang diletakkan di sekitar sebuah kawasan kejiranan tengah.
Lima orang maut di bandar tersebut, termasuk seorang remaja lelaki berusia 15 tahun, menurut Persatuan Nicaragua bagi Pelindungan Hak Asasi Manusia (ANPDH).
“Darah yang tumpah di Masaya telah menjadikannya hari untuk berkabung yang menyakitkan bagi warga yang hanya mahu menggunakan hak mereka untuk menunjuk perasaan,” kata ketua kumpulan hak asasi manusia, Alvaro Leiva, kepada AFP.
“Kita menghadapi situasi krisis yang amat mendalam dari segi pencabulan hak asasi manusia.”
Seorang pegawai perisikan polis turut terkorban, katanya.
Dalam perkembangan lain, Duta AS Laura Dogu berkata seorang warga Amerika terbunuh pada malam kelmarin di ibu negara, Managua.
ANPDH mengenal-pasti mangsa sebagai Sixto Henry Viera, 48, dan berkata dia dilaporkan dibunuh oleh perusuh prokerajaan.
Sementara itu polis melaporkan penjarahan, kebakaran dan rusuhan di sekurang-kurangnya enam buah bandar, termasuk Managua dan Masaya, dan menyalahkan kumpulan sayap kanan, tetapi di sekurangkurangnya beberapa bandar, penduduk berkata pasukan keselamatan sendiri bertanggungjawab bagi kemusnahan yang berlaku.
Masaya, sebuah bandar dengan lebih 100,000 orang, bergema dengan tembakan senapang dan bom mortar manakala penduduk berikrar untuk menentang pasukan keselamatan yang mereka dakwa membunuh penunjuk perasaan yang tidak bersalah, selain penyokong kerajaan yang mereka kata telah melakukan penjarahan dan penyamunan.
Sambil berlindung di sebuah balai polis dan tempat lain yang strategik, polis membalas tembakan dengan gas pemedih mata dan, menurut laporan, peluru hidup.
Jonhatan Jose, 47, berkata jirannya telah ditembak mati.
“Mereka menyerang rakyat Nicaragua. Mereka melepaskan tembakan yang terkena dada jiran saya pada pagi tadi,” katanya.
“Itu adalah perbuatan seorang penembak tepat. Kita boleh tahu daripada saiz lubangnya yang besar.
“Dia mungkin berusia kira-kira 23 tahun, dengan seorang anak lelaki yang berusia tiga atau empat tahun,” katanya lanjut.
Satu tumpuan utama dalam pergolakan itu adalah sebuah pasar tukang yang habis terbakar.
Kerajaan berkata, penduduk telah membakarnya, dan pasukan keselamatan dihantar ke bandar berkenaan atas permintaan pemilik perniagaan kecil yang hilang segalanya.
Penduduk berkata, itu adalah satu pembohongan, mereka berkata polis rusuhan sendiri membakar bangunan terbabit dalam usaha untuk mewajarkan tindakan mereka, yang membawa kepada 31 tangkapan.
Sementara ratusan belia berhimpun di perintang sambil membawa bom mortar buatan sendiri, parang, batu dan lastik, penduduk lain mencari pelindungan di rumah mereka dalam ketakutan.
Penunjuk perasaan ada satu tuntutan sahaja, kata Azhalea Solis, seorang ketua pembangkang: “Singkirkan kerajaan Ortega dengan serta-merta.”
Namun presiden berusia 72 tahun itu kelihatan bersedia untuk pertarungan yang lama.
Pada Rabu lepas, perarakan Hari Ibu untuk menyokong ibu-ibu yang kehilangan anak-anak dalam keganasan yang berlaku telah disambut dengan tembakan yang mengorbankan sekurangkurangnya 16 orang.
Bekas sekutu Ortega, Henry Ruiz, yang merupakan seorang komander dalam tentera gerila Sandinista ketika ia menggulingkan diktator Anastasio Somoza pada 1979 dan memberi kuasa kepada Ortega, memberi amaran kepada negara itu untuk menghadapi keadaan yang lebih buruk lagi.
“Terdapat banyak bukti bahawa Ortega akan menggunakan tentera untuk melawan balik dan menguatkan tangannya untuk rundingan,” katanya dalam satu kolum pendapat.
Ortega, yang tewas dalam pilihan raya pada 1990 dan kembali memegang kuasa pada 2007, kini berkhidmat untuk penggal ketiga yang dijadual tamat pada 2022.