Kad kuning lengkapkan minggu kontroversi Sterling
England tewaskan Nigeria 2-1 pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Wembley
LONDON, England: England memulakan persediaan ke Piala Dunia 2018 dengan kemenangan 2-1 ke atas Nigeria pada perlawanan persahabatan tetapi pemain sayapnya, Raheem Sterling menamatkan minggu kontroversi dengan kad kuning kerana sengaja merebahkan diri.
Skuad kendalian Gareth Southgate mendahului 2-0 menerusi gol Gary Cahill dan kapten pasukan Harry Kane pada aksi memberangsangkan dalam separuh masa pertama perlawanan di Stadium Wembley Sabtu lepas.
Tetapi aksi memberangsangkan itu sedikit tercemar selepas rehat dengan Alex Iwobi merapatkan kedudukan buat Nigeria, yang hampir mengikat kedudukan selepas mendedahkan kelemahan format tiga pemain pertahanan dengan serangan dari bahagian sayap.
Southgate masih mempunyai masa untuk menggunakan format permainan itu ketika England mempunyai satu lagi perlawanan persahabatan – menentang Costa Rica di Leeds Khamis ini sebelum berlepas ke Rusia dan memulakan kempen dalam Kumpulan G menentang Tunisia pada 18 Jun.
“Kami bermain dengan sangat baik, terutama sekali ketika menguasai bola. Jauh lebih bagus dari situasi yang sama pada perlawanan sebelum ini,” tegas Southgate.
“Tempoh yang membawa gol pertama, mereka mengubah corak permainan mereka dan kami mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri. “Tetapi selepas itu, kami mengharunginya dengan baik. Ia lebih satu latihan yang baik untuk kami menyesuaikan diri.”
Tetapi beliau juga harus mengadakan satu lagi perbualan serius dengan Sterling selepas kontroversi baharu pemain kelab Manchester City itu.
Bercakap sebelum sepak mula, Southgate mengakui beliau mempunyai keraguan tentang menurunkan Sterling selepas pemain itu tiba lewat sehari dari jadual asal kem latihan England kerana masalah penerbangan selepas kembali dari percutian. Sterling ada meminta maaf secara terbuka kepada rakanrakan sepasukan selepas Southgate menegaskan tentang disiplin dalam pasukannya – tetapi ia bukan satu-satu isu sejak beliau menyertai skuad England apabila pemain berusia 23 tahun itu terpaksa mempertahankan tatu senjata M16 di betisnya. Selepas gagal menyerlah bersama England di Euro 2016, Sterling harus membuktikan sesuatu dan prestasi cemerlang beliau ketika membantu City memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini dapat dilihat dalam separuh masa pertama.
Tetapi beliau tetap tidak dapat mengelak kontroversi apabila dilayangkan kad kuning kerana sengaja menjatuhkan diri dalam kotak penalti.
“Saya belum lagi melihat insiden itu tetapi saya fikir beliau bekerja-keras untuk pasukan dan pergerakan pantas beliau adalah masalah utama pasukan lawan,” kata Southgate.
“Saya fikir beliau sangat cergas dan pergerakannya menimbulkan masalah kepada lawan. Saya berasa gembira dengan prestasi beliau.”
Ia adalah malam yang biasa diharungi Southgate ketika bermain untuk England, dengan ejekan dari penonton turut mewarnai perlawanan. Pemain sayap England, Dele Alli, mendapat ejekan dari penyokong Nigeria kerana keputusannya untuk menolak mewakili Nigeria untuk mewakili England.
Alli, di mana ayahnya berasal dari Nigeria, bagaimanapun tidak terjejas dan beliau kemudian meraikan gol bersama pasukannya seawal minit ketujuh apabila tendangan sudut Kieran Tripper ditanduk Cahill.
Selepas mengharungi musim tidak konsisten bersama Tottenham Hotspur dan beberapa aksi hambar bersama England, Alli perlu mengukuhkan kedudukannya dalam kesebelasan utama England dan dengan melupakan ejekan penyokong lawan, beliau mempamerkan aksi memberangsangkan.
Sterling mengumpan gol kedua England pada minit ke-39 apabila hantaran beliau disempurnakan Kane.
Malah penjaga gol England, Jordan Pickford, yang membuat penampilan ketiga bersama England, tidak begitu diuji dalam separuh masa pertama.
“dengan Kami bermain sangat baik, terutama sekali ketika menguasai bola. Jauh lebih bagus dari situasi yang sama pada perlawanan sebelum ini. Gareth Southgate Jurulatih England