Rujuk pelan sebelum laksana projek: Lee
MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) dan pihak berkuasa diminta merujuk rancangan projek pembangunan jalan atau saliran dengan syarikat utiliti dan pemaju sebelum pelaksanaan dimulakan.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin berkata, inibagimengelakkangangguan ke atas kabel bawah tanah yang bukan hanya menjejaskan perkhidmatan, malah melambatkan kelancaran projek.
“Sebagai contoh, kerjakerja menggali tanah bagi projek pembesaran jalan yang dibuat tanpa perancangan menyebabkan kerosakkan pada kabel bawah tanah dan apabila ini berlaku, ia menyebabkan gangguan perkhidmatan di kawasan terbabit.”
“Akibatnya, pemaju dan syarikat utiliti terpaksa membaiki dan ini sudah pasti akan melambatkan projek pembesaran jalan tersebut.
“Justeru saya mahu MBM dan pihak berkaitan merujuk kepada syarikat utiliti terlebih dahulu untuk menggelakkan masalah yang tidak sepatutnya,” kata Lee.
Beliau berkata demikian selepas meninjau projek pembesaran jalan sepanjang 2.8 kilometer di Kampung Muhibbah, Kuala Baram yang gagal disiapkan mengikut jadual.
“Penduduk kampung meminta jalan tersebut dilebarkan memandangkan ia hanya dapat dilalui sebuah kenderaan pada satu-satu masa.
“Projek ini ketinggalan 20 peratus daripada jadual yang ditetapkan,” katanya.
Kelewatan itu berpunca daripada masalah kerjakerja mengorek tanah yang menjejaskan kabel bawah tanah sehingga menyebabkan gangguan bekalan utiliti kepada pengguna.
LEE menyukat lebar tanah yang perlu digali untuk projek pelebaran jalan.
“Saya cadangkan MBM dan pihak berkaitan mempunyai perancangan teliti dan merujuk kepada penyedia gas, air, gas, telekomunikasi dan elektrik sebelum melaksanakan projek,” katanya.
Lee juga mengarahkan ketua kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung agar memantau pemaju atau kontraktor yang melaksanakan projek di kawasan mereka.
“Ini penting untuk memastikan kerja dan projek yang dilaksanakan mengikut spesifikasi yang ditetapkan untuk mengelakkan masalah dan mengurangkan risiko kerosakan pada masa hadapan.
“Masalah seperti jalan mendap disebabkan asas yang tidak cukup perlu diatasi sebelum projek disiapkan,” katanya.