LEBIH BANYAK SEKOLAH KEMAHIRAN
Sedia peluang pekerjaan kepada anak-anak Sabah: Jaujan
KINABATANGAN: Kerajaan negeri berhasrat mewujudkan lebih banyak sekolah kemahiran di Sabah bagi membantu anak-anak di negeri ini memiliki pelbagai kemahiran dan membuka peluang pekerjaan.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong berkata ekoran itu Kementerian Pelajaran dan Inovasi diwujudkan bagi mencapai hasrat tersebut.
“Ini penting agar kita dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak Sabah agar memiliki kemahiran terutamanya dalam bidang perindustrian,” katanya.
Beliau menambah kerajaan negeri hari ini akan membekukan eksport sumber kayu balak agar kita sebagai pengeluar kayu terbaik di negara ini menjadi pengeluar produk kayu pada masa depan.
“Kita juga mencadangkan agar getah dan sarang burung dihentikan pengek sportannya dan ini akan memberi banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan yang memiliki kemahiran tersebut,” katanya.
Jaujan memberi contoh sumber minyak dan gas yang dikendalikan oleh Petronas yang begitu banyak memberi peluang kepada anak Sabah tetapi ekoran kita tidak memiliki kemahiran berkenaan di mana pihak Petronas terpaksa mencari pekerja yang berkemahiran dalam bidang itu.
“Akhirnya anakanak negeri Sabah yang ketinggalan dan tiada kemahiran ini, tidak memiliki pekerjaan. Ini hasrat kita hari ini agar sekolah-sekolah kemahiran diwujudkan lebih banyak di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Majlis Daerah Kinabatangan di Dewan Sri Lamag di sini, Jumaat.
Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata ini juga akan memudahkan pelabur yang membuat pelaburan di negeri ini mencari pekerja yang terdiri daripada anak tempatan berkemahiran.
“Kerajaan hari ini mahu mengurangkan pengambilan pekerja luar yang hanya merugikan rakyat tempatan dan memberi keuntungan kepada pekerja luar,” katanya.
Jaujan menjelaskan, ini adalah salah satu hasrat kerajaan mewujudkan kementerian berkenaan agar kita dapat membina sekolahsekolah kemahiran yang lebih banyak di Sabah untuk menyediakan program pendidikan kemahiran kepada anak-anak di negeri ini.
“Kita tidak perlu bergantung sepenuhnya dari peruntukan kerajaan Pusat sebab bukan satu negeri yang perlu diambil perhatian oleh kerajaan Pusat di negara ini. Ini inisiatif kita wujudkan kementerian itu untuk memberi manfaat kepada anak-anak Sabah,” katanya.
Pada majlis itu, beliau telah beramah mesra dengan pegawai serta kakitangan kerajaan dan penduduk yang hadir sebelum menyampaikan sumbangan kepada anak-anak terpilih.
Turut hadir, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Hiew Vun Zin, pegawai kanan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Ketua Bahagian Warisan P.187 Kinabatangan Mahmod Tasan, Pegawai Daerah Kinabatangan Yassin Nasir dan para pemimpin Parti Warisan Sabah.