Bot pelancong karam di Phuket, 1 maut, 56 hilang
BANGKOK: Seorang lelaki rakyat China maut dan 56 penumpang lain hilang selepas sebuah bot pelancong karam di perairan yang bergelora di luar pantai pulau pelancongan terkenal Phuket di Thailand.
Bot, yang dinamakan Phoenix, membawa seramai 105 penumpang, termasuk 93 pelancong China dan 12 kru Thai serta pemandu pelancong, ketika ia karam, menurut pihak berkuasa kelmarin.
Mereka berkata operasi menyelamat sudah dilancarkan bagi mencari 56 yang hilang.
“Seorang meninggal dunia, 11 tercedera (dua mengalami kecederaan teruk, lima kecederaan ringan) serta 56 lagi hilang. Kami meneruskan dengan mengumpulkan satu pasukan untuk mencari mereka,” menurut Jabatan Ke-selamatan Air untuk Jabatan Pelabuhan.
“Seramai 48 berjaya diselamatkan,” tambahnya.
Pihak jabatan menyatakan seorang lelaki yang mati sudah dikeluarkan dari air.
Kor Marin Diraja Thai menyatakan dalam satu kenyataan bahawa Phoenix karam kira-kira 7 kilometer dari pantai dan bot itu tenggelam hingga kedalaman kira-kira 38-40 meter.
“Kami akan memeriksa di bahagian bawah bot,” kata pihak Marin.
Kedutaan China di Bangkok menyatakan dalam satu kenyataan bahawa ia sudah meminta kerajaan Thai agar melakukan usaha menyelamat sepenuhnya, serta ia sudah menghantar satu pasukan ke Phuket bagi membantu.
Ia menambah bahawa pihak konsulat China di selatan Thailand sudah mengerahkan kakitangannya ke tempat kejadian untuk membantu rakyatnya.
Serenta, sebuah bot lain yang belayar di kawasan yang sama, juga karam. Kapal layar itu membawa 35 pelancong, lima kru dan seorang pemandu pelancong. Kebanyakan penumpang di dalam kapal layar berjaya diselamatkan namun dua lagi masih hilang, menurut jabatan tersebut.
Thailand berada di tengahtengah musim monsunnya yang bermula pada Mei dan biasanya tamat pada Oktober. Musim monsun selalunya membawa angin kuat hingga ke kawasan pantai dan ribut kilat.
Thailand memiliki rekod keselamatan bot dan jalan raya yang teruk. Banyak syarikat pelancongan mengadu mengenai kurangnya pe-nguatkuasaan ketika ia melibatkan langkah keselamatan asas, termasuk tali pinggang keselamatan di dalam kereta dan jaket keselamatan di dalam bot.
Lebih 20 maut selepas sebuah bot pelancong yang membawa 150 penumpang karam di bandar purba Ayutthaya di Thailand pada 2016. Pihak berkuasa menyalahkan kemalangan itu terhadap keadaan yang terlalu penuh dan pengemudian yang cuai.
Pelancong China membentuk kumpulan pelancong asing paling besar ke Thailand, dengan jumlah yang meningkat sejak beberapa tahun disebabkan oleh populariti yang bertambah bagi pulau-pulau dan kosmopolitan di Thailand.