Ketua Aum Shinrikyo, enam pengikutnya dihukum mati
Untuk serangan sarin dalam kereta api bawah tanah di Tokyo pada 1995 yang menyebabkan 13 maut dan ribuan cedera
TOKYO: Ketua kultus hari kiamat di Jepun yang melancarkan serangan sarin yang berdarah pada 1995 dalam kereta api bawah tanah di Tokyo menjalani hukuman mati semalam bersama enam pengikutnya, beberapa dekad selepas jenayah yang dahsyat itu.
Shoko Asahara, ketua berkarisma yang hampir buta bagi sekta Aum Shinrikyo, menunggu selama lebih 10 tahun untuk hukuman mati dilaksanakan ke atasnya bagi jenayah termasuk serangan agen saraf berkenaan, yang mengejutkan dunia dan memaksa tindakan besar-besaran diambil ke atas kultus tersebut.
Menteri Keadilan Jepun, Yoko Kamikawa, mengesahkan pelaksanaan tujuh hukuman mati itu, dan berkata anggota Aum bertanggungjawab bagi “tindakan amat kejam dan serius yang luar biasa dan tidak harus berlaku lagi”.
Hukuman gantung berkenaan merupakan hukuman mati pertama berhubung serangan terbabit, yang membunuh 13 orang dan men-cederakan ribuan lagi.
Enam pengikut kultus lain masih menunggu masa untuk menjalani hukuman mati.
Jepun merupakan satu daripada beberapa negara maju yang masih melaksanakan hukuman mati, dan sokongan orang ramai kepadanya masih tinggi walaupun menerima kritikan antarabangsa.
Saudara-mara mereka yang maut dalam serangan berkenaan, dan mangsa lain yang cedera, mengalu-alukan pelaksanaan hukuman mati itu.
“Saya menerimanya dengan tenang. Namun saya ada rasa bahawa dunia telah menjadi sedikit ceria,” kata Atsushi Sakahara, seorang pengarah filem yang cedera dalam serangan sarin di stesen Roppongi, Tokyo.
“Saya sudah mengalami kesakitan selama bertahun-tahun,” katanya kepada AFP.
“Ia adalah mustahil untuk melupakan insiden itu, tetapi pelaksanaan hukuman mati seakan-akan menamatkan pengalaman ini.”
Shizue Takahashi, isteri kepada seorang pekerja kereta api bawah tanah yang maut dalam serangan itu, memberitahu pemberita bahawa dia rasa hukuman mati ke atas Asahara amat wajar sekali.
“Dia sudah tentulah wajar mati,” katanya kepada pemberita.
“Pelaksanaan hukuman mati diproses seperti yang sepatutnya, jadi tiada tangisan langsung bagi saya.”
Serangan yang dilancarkan pada waktu sibuk yang amat sesak telah melumpuhkan Tokyo, malah menjadikannya umpama zon perang.
Anggota kumpulan terbabit mengeluarkan kimia dalam bentuk cecair di lima bahagian dalam rangkaian kereta api bawah tanah, dan tidak lama kemudian komuter mula sesak nafas dan keluar terhuyung-hayang dari kereta api dengan mata yang berair.
Mangsa lain rebah, dengan mulut yang berbuih, dengan darah yang mengalir dari hidung mereka.
Sakae Ito, yang menaiki kereta api Hibiya yang sesak pada hari itu, menceritakan bagaimana komuter batuk dengan begitu kuat sekali sehingga tidak dapat dikawal.
“Cecair dituang di atas lantai di tengah-tengah gerabak, orang terkejang-kejang di tempat duduk mereka. Seorang lelaki bersandar pada tiang, bajunya terbuka, cecair badannya mengalir keluar.”
Keadaan huru-hara berlaku tidak lama kemudian, dan pekerja kereta api bawah tanah menjerit kepada orang ramai untuk keluar dari kereta api dan penumpang kekejangan di atas lantai gerabak.
Anggota Pasukan Pertahanan Diri Jepun yang memakai sut hazmat dan topeng gas turun ke bawah untuk membantu mangsa yang cedera dan menangani racun.
Walaupun kebimbangan mengenai kumpulan Aum sudah dibangkitkan, sera-ngan itu mendorong tindakan besar-besaran ke atas ibu pejabat kultus tersebut di kaki Gunung Fuji, di mana pihak berkuasa menjumpai sebuah loji yang berupaya menghasilkan sarin yang mencukupi untuk membunuh jutaan manusia.
Asahara dijatuhi hukuman mati selepas pendakwaan yang lama di mana dia kerap menyampaikan monolog yang merampu dan tidak jelas dalam bahasa Inggeris dan bahasa Jepun.
Dilahirkan sebagai Chizuo Matsumoto pada 1955 di pulau barat daya Kyushu, dia menukar namanya pada zaman 1980-an, ketika kultus Aum sedang dibangunkan.
Seorang penceramah berkarisma, dia menyelubungi diri dengan amalan mistik untuk menarik rekrut, termasuk doktor dan jurutera yang membuat agen saraf untuk kumpulan itu.
Kultus Aum, kini dinamakan semula sebagai Aleph, secara rasmi menyingkirkan Asahara pada 2000, tetapi ia tidak pernah diharamkan dan pakar berkata bekas guru itu masih mempunyai pengaruh yang kuat.
Walaupun orang masih rasa takut ekoran serangan kereta api bawah tanah dan jenayah lain yang dilakukan oleh Aum, beberapa pakar telah memberi amaran tentang hukuman mati ke atas Asahara dan pengikutnya.
Mereka berkata kematiannya boleh menyebabkan penamaan ketua kultus baharu, mungkin anak lelaki keduanya, dan pengikutnya mungkin akan diangkat kepada status “martir” di kalangan pengikut yang masih ada.
Pihak berkuasa Jepun berkata mereka sentiasa berwaspada bagi sebarang pembalasan yang berpotensi ekoran pelaksanaan hukuman mati itu dan media tempatan melaporkan polis melawat kumpulan yang dikaitkan dengan Aum dan kultus pengganti.
Hukuman mati semalam merupakan pelaksanaan hukuman serentak yang terbesar di Jepun sejak 1911, apabila 11 orang digantung kerana berkomplot untuk membunuh maharaja.
Mereka dikritik oleh kumpulan hak asasi manusia Amnesty International, yang menganggap tindakan kultus itu sebagai “menjijikkan” tetapi berkata “hukuman mati bukan jawapannya”.
“Hukuman gantung berkenaan merupakan hukuman mati pertama berhubung serangan terbabit, yang membunuh 13 orang dan mencederakan ribuan lagi. Enam pengikut kultus lain masih menunggu masa untuk menjalani hukuman mati.