Sabah sasar kutip mata penuh hadapi SSBJ B16
KOTA KINABALU: Skuad Sabah B19 mensasarkan untuk mengutip mata penuh ketika menghadapi SSBJ B16 dalam perlawanan pusingan kedua Piala Belia di Stadium Penampang, esok.
Penolong pengurus pasukan, Lokman Sunggim, berkata pasukan itu akan berusaha untuk memanfaatkan sepenuhnya kelebihan beraksi di halaman sendiri untuk memburu kemenangan.
“Pemain-pemain kita sentiasa bersemangat dan bermain di tempat sendiri akan memberi kelebihan kepada mereka untuk beraksi lebih baik.”
“Jika mereka berupaya melakukan yang terbaik pastinya sasaran untuk meraih mata penuh dalam perlawanan ini boleh direalisasikan”, katanya ketika ditemui selepas sesi latihan pasukan di sini.
Sebelum ini, Sabah menewaskan SSBJ B16 4-1 pada perlawanan pusingan pertama di Bukit Jalil.
Lokman bagaimanapun berharap pemain-pemain sentiasa memberi tumpuan terhadap setiap perlawanan yang mereka hadapi termasuk perlawanan esok.
“Mereka perlu memiliki sikap sentiasa fokus dan menganggap semua perlawanan adalah penting.
PARA pemain Sabah B19 bersama para pegawai selepas sesi latihan.
Ini boleh membantu pasukan tidak leka sebaliknya terus berjuang untuk mencapai kemenangan”, tegasnya.
Menurut penolong pengurus itu, dengan berusaha memenangi baki perlawanan pusingan kedua akan memberi peluang kepada pasukan untuk terus mara ke pusingan seterusnya.
Katanya, sasaran awal mereka sebelum ini untuk berada dalam kelompok empat pasukan teratas dalam Kumpulan A bagi memastikan peluang ke suku akhir.
Setakat ini, pasukan itu menduduki tempat ketiga dalam carta liga dengan mengutip 22 mata. Ini bermakna pasukan ketika ini berada pada landasan yang betul dan perlu meneruskan usaha lebih gigih, ujarnya.
Beliau juga mengesahkan bahawa pemain pertahanan, M oh d S ya mil Ni z a mI g bal yang dikenakan penggantungan satu perlawanan dan tidak dapat beraksi dalam pertemuan dengan Pahang, akan kembali disenaraikan dalam pasukan.
“Pemain tersebut sudah menyertai latihan dan ketua jurulatih Mohd Aiyman Johnny Abdullah akan menentukan kedudukannya dalam pertemuan dengan SSBJ,” katanya.