Lebuh India bakal jadi pusat tarikan pada waktu malam
KUCHING: Lebuh India bakal menjadi pusat tarikan di bandar raya ini pada waktu malam dengan adanya pembinaan pancutan air berirama berdekatan Tebingan Kuching dan Jambatan Darul Hana tidak lama lagi.
Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata demikian selepas diminta memberi komen kejayaan ‘Sarawak Culinary Adventure Celebration of Food Art Crafts’, malam Ahad.
“Acara seperti ini sepatutnya dijalankan secara kerap di Lebuh India untuk menampakkan ia hidup walaupun pada waktu malam selepas kedai-kedai di sini tutup selepas waktu perniagaan pada waktu siangnya.
“Saya mahu melihat sesuatu seperti ini selalu di sini bukan hanya ‘Festival Mooncake’ di Carpenter Street setiap tahun,” katanya pada majlis penutup acara itu pada Ahad.
Acara selama tiga hari itu menyaksikan 50 gerai menyediakan pelbagai jenis makanan etnik dengan seni menonjolkan produk makanan popular yang terdapat di Sarawak.
Hidangan etnik daripada masyarakat Kayan,Kenyah,Iban,Bidayuh,Melanau, Melayu, Kelabit dan Cina dapat dirasai oleh setiap lapisan masyarakat.
Pada masa yang sama turut ditampilkan persembahan kebudayaan dan warisan daripada pelbagai masyarakat Sarawak dan kisah mitos legenda etnik seperti Bejawang (Iban) dan Opera Cina.
Pertunjukan lain termasuk sape, tarian buluh Melanau dan tarian India Dhol serta Bollywood.
KINO Heritage Live Kitchen menampilkan bengkel dan demo percuma untuk pengunjung sepanjang tiga malam untuk menikmati masakan warisan unik Sarawak.
Finalis Masterchef Asia 2015 Jasbir Kaurmempamerkankepakaranmemasak fusion dengan sentuhan Sarawak seperti Punjabi Acar Terong Assam.
Beliau juga mengadakan pertandingan chapati untuk pelawat.
Tahun ini, sebanyak 12 demo atau bengkel di bawah tema ‘Snacks Alive!’ diadakan untuk membuat linut, ketupat dan sebagainya.
Turut hadir Presiden Jawatankuasa Warisan dan Seni Kuliner Sarawak Datin Dona Drury Wee, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Lebuh India Datuk Wee Hong Seng, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Hii Chang Kee dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Dr Sabariah Putit.