Enam lelaki positif dadah ditahan polis
PAPAR: Polis menahan enam lelaki yang terbabit penyalahgunaan dadah dalam satu operasi yang dijalankan di beberapa kawasan di sini, bermula malam Selasa.
Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Ladamah Sulaiman berkata Ops Sarang yang berakhir pagi Rabu itu dijalankan di Kampung Kabang, sebuah flat di Kinarut dan Kampung Suangon Kinarut.
“Hasil operasi berjaya menahan enam lelaki berumur 30 hingga 60 tahun dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar untuk tujuan dokumentasi.
“Kesemua suspek turut didapati positif dadah jenis syabu selepas ujian air kencing terhadap mereka adalah positif,” katanya.
Menurutnya pihak polis turut merampas syabu seberat 5.12 gram dan sebuah motosikal yang dipercayai motosikal curi.
“Kesemua suspek kini direman untuk disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Ops Sarang adalah satu inisiatif dalam mencegah kegiatan jenayah di daerah Papar dan kawasan sekitarnya,” katanya.