Dua didakwa guna dokumen palsu
KOTA KINABALU: Seorang lelaki dan wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu.
Bagaimanapun Ruddin Asis, 51, dan Zohanah@ Mimi Jamlee 36, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama.
Majistret Stephanie Sherron Abbie menetapkan sebutan semula pada hari ini (Jumaat) terhadap Ruddin, sementara menunggu pengesahan kad pengenalan sementara dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Manakala untuk Zohanah, pengurusan kes ditetapkan pada 17 Ogos, bagi menentukan tarikh perbicaraan.
Ruddin didakwa dengan curang menggunakan surat kemudahan berlepas ke Semenanjung, yang dipercayainya sebagai dokumen palsu.
Kesalahan dilakukan pada 19 Jun jam 8.00 pagi di Balai Berlepas Domestik, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), di sini.
Sementara Zohanah didakwa menggunakan surat pemakluman kes dalam prosiding Mahkamah Syariah, yang diketahuinya sebagai dokumen palsu.
Tertuduh didapati melakukan kesalahan itu pada 12 April di JPN, di sini.
Selain dikenakan pemenjaraan maksimum dua tahun, mereka juga boleh dikenakan denda atau dengan kedua-duanya sekali.
Sementara menunggu kes selesai, tiada jaminan diberikan kepada Ruddin,manakala Zohanah ditawarkan ikat jamin sebanyak RM3,000 dicagarkan dua penjamin tempatan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Insp Suzie@Stephanie Kupit.