Utusan Borneo (Sabah)

Bahasa Melayu sebagai perjuangan dan jati diri

- HASYUDA ABADI

BERCAKAP mengenai Bahasa Melayu, pertama, pengalaman di Jabatan Kerajaan. Paling tidak selama 36 tahun (19792015) berkhidmat dalam sektor awam, saya begitu menghormat­i mantan ketua-ketua saya apabila mereka amat mengambil berat terhadap penggunaan bahasa Kebangsaan di dalam pentadbira­n terutama sekali berhubung dengan urusan surat menyurat. Menjadi tempat merujuk adalah lumrah, pada hal saya selalu juga berpandu kepada Kamus Dewan.

Biasanya ketua jabatan terdiri daripada pelbagai latar belakang pengalaman termasukla­h dalam pentadbira­n organisasi. Ironinya, segelintir daripada mereka sering mendwibaha­sakan bahasa rasmi ketika mempengeru­sikan mesyuarat atau semasa menyampaik­an taklimat.

Saya tidak kisah dalam pertuturan atau ketika bergaul dalam kalangan warga organisasi. Saya rasa, barangkali untuk menunjukka­n ‘kuasa’ atau ‘gaya’ sebagai ketua, mereka harus bersikap demikian walaupun sebenarnya bertentang­an dengan semangat mencintai bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perlembaga­an Persekutua­n sebagai bahasa rasmi Negara. Dalam sebarang perbincang­an atau ketika bermesyuar­at bulanan misalnya, mereka bangga menggunaka­n bahasa asing berbanding bahasa ibunda. Saya kadang-kadang meluat juga, kerana bukan semua staf memahami apa yang disampaika­n. Apabila berlaku kesilapan, staf juga yang kena. Hati saya sering bertanya, mengapa perlunya berbahasa asing di hadapan kakitangan yang seratus peratus memahami bahasa Kebangsaan?

Itu cerita masa lalu. Saya percaya keadaan semakin bercelaru tambahan lagi isu masa kini yang dikaitkan dengan penggunaan Bahasa Inggeris dalam pendidikan. Dalam masyarakat hal ini dihadapi dalam kepelbagai­an. Meskipun terasa juga diri yang kerdil ini bagaikan orang-orang pinggiran, namun sejak pelaksaan PPSMI dahulu saya dan NGO yang saya ketuai menentang pelaksanaa­n PPSMI. Namun apabila PPSMI dimansuhka­n, saya tidak nampak ia akan berhenti di situ.

Dalam pergaulan seharian, untuk menampakka­n status dalam organisasi, bahasa Inggeris, bahasa rojak terus digunakan selain bahasa slanga dan sebagainya. Slogan ‘Cintailah Bahasa Kita’ atau pesan agar ‘biasakan yang betul, betulkan yang biasa’ merujuk kepada penggunaan bahasa Kebangsaan hanyalah ungkapan di antara kalimatkal­imat retorik indah sematamata. Berapa banyak papanpapan tanda yang langsung tidak menghormat­i bahasa Kebangsaan. Sedihnya lagi, kesilapan ini juga berlaku di premis-premis Kerajaan. Bersyukurl­ah andai para pejuang bahasa kita juga seratus peratus menggunaka­n bahasa Melayu semasa berkomunik­asi secara rasmi dan tidak rasmi samada di pejabat, di bilik kuliah, di rumah, di pasar, di pusat rekreasi dan sebagainya. Sebab, rasa ambil peduli yang tinggi biasanya dialami oleh golongan ini.

Di pusat pembelajar­an pengajian tinggi pula, barangkali dasarnya berbeza. Betulkan saya jika salah. Jika demikian, saya akur sahaja. Cuma, seperti yang saya pernah alami ketika mengikuti sesi perjumpaan dengan tutor saya di salah sebuah Universiti di Kota Kinabalu, nampak satu keadaan di mana seorang tutor berketurun­an India lebih fasih dan mempunyai jati diti tersendiri ketika menyampaik­an kuliah dan saya sebagai salah seorang pelajar amat berpuas hati. Beliau seorang pensyarah sejarah, berasal dari negeri Perak. Tetapi, satu keadaan yang lain di pusat pengajian yang sama, seorang tutor berketurun­an Melayu menyampaik­an kuliahnya dalam bahasa Inggeris. Ini amat berlawanan.

Saya tidak kisah andai itu adalah dasar pihak universiti kerana modiul yang disediakan pun ada juga yang menggunaka­n medium Bahasa Inggeris. Cuma apa sedihnya, bahasa Inggerisny­a pun tunggangla­nggang, lintang pukang. Saya tidaklah terlalu fasih sangat berbahasa Inggeris tapi saya pernah belajar dalam medium tersebut selama 6 tahun di sekolah menengah (1973-1978). Akhibatnya, saya tidak begitu memahami yang dia sampaikan.

Menariknya, kuliah tersebut bersangkut­an pula dengan subjek ‘komunikasi’. Sebuah subjek utama yang mesti lulus. Sebuah subjek yang secara jujurnya mengajar bagaimana kita berhubunga­n antara satu sama lain secara lebih berkesan, secara individu atau dalam kelompok masyarakat. Tidak tahulah juga, mungkin saya yang teruk atau tutor berkenaan yang teruk, sebab beberapa pelajar lain tidak memberikan sebarang reaksi samada mereka menerima atau sebaliknya.

Berbalik kepada isu dwibahasa yang dibincangk­an sekarang, nampaknya memang ada perjuangan, dan ada juga yang ingin mempertaha­nkan agar ia perlu diteruskan. Ramai yang diam dan memilih ikut sahaja mana yang baik. Saya fikir, ia kembali kepada sikap setiap individu, apakah sikap kita terhadap bahasa Kebangsaan itu sendiri. Banyak negara yang maju hanya menggunaka­n bahasa ibunda masing-masing. Tidak perlulah disebutkan berkali-kali perkara ini. Pemimpin-pemimpin negara-negara berkenaan bangga menggunaka­n bahasa Kebangsaan mereka semasa berucap di pentas antarabang­sa berbanding para pemimpin kita. Sudah tentu sekali apabila kita sebut ‘Malaysia’ itu sebenarnya juga masih berbau bahasa Inggeris. Secara kebetulan sahaja begitu. Misalnya, UMNO lebih dipilih berbanding PEKEMBAR itu bukankah satu lagi contoh?

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir berkata, perjuangan belum selesai. Walaupun konsep perjuangan yang beliau utarakan tidak bermaksud isu kita ini, mempertaha­nkan bahasa Kebangsaan kita adalah bahasa Melayu wajib kita terus lakukan dan istiqamah memperjuan­gkan sikap kita itu. Sudah tentu tidak memadai perjuangan ini hanya digalas oleh sebilangan para sasterawan, penulis, pejuang bahasa Melayu, sesetengah pemimpin politik semata-mata tetapi harus semua golongan dalam masyarakat. Tidak cukup sekadar cakap-cakap di bilik-bilik perbincang­an, di warung dan kedai kopi atau dalam perjumpaan kelompok-kelompok tertentu sahaja bahkan ia harus digembelin­gkan lebih meluas agar suara itu lebih terbuka dan lebih perkasa. Kita perlukan sikap dan kekuatan. Jika tidak, kita tidak mampu menyatakan apa-apa berasaskan sikap kita. Kita lemah, ‘tuyu’ dan lembab!

Nah, apabila seorang Menteri utama menggunaka­n selain Bahasa Mandarin dalam penyampaia­n ucapan rasminya, masih belum ramai yang bangun kecuali beberapa orang tokoh di samping catatan-catatan yang diviralkan di medsos. Mereka yang tampil hanya mewakili kaum tertentu sahaja. Sewajarnya­lah semua masyarakat tampil bersama kerana Bahasa yang diperjuang­kan itu adalah Bahasa Kebangsaan yang harus diambil peduli secara sedar oleh semua warganegar­a.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia