Utusan Borneo (Sabah)

SEWAKAN RUMAH SETINGGAN?

K’jaan kenal pasti pemilik sebelum tindakan diambil

- Oleh YAP SIONG HAN

TAWAU: Kerajaan akan mengenal pasti individu yang menyewakan rumah setinggan sebelum tindakan undang-undang diambil.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, pihaknya akan menyiasat perkara itu kerana ia tidak selaras dengan niat baik kerajaan untuk menjaga kebajikan rakyat.

“Saya memang ada dengar perkara ini tetapi sebelum sebarang tindakan diambil, saya akan menyemak dahulu.

“Oleh itu, ia menjadi keutamaan kerajaan baharu menyediaka­n rumah mampu milik untuk rakyat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran DAP Sri Tanjong, di sini pada Ahad.

Beliau berkata, kerajaan akan mengenal pasti lot-lot tanah untuk menyediaka­n prasarana rumah mampu milik yang akan dibina oleh agensi berkaitan.

Katanya, tindakan merobohkan rumah setinggan tanpa menyediaka­n tempat tinggal kepada penghuniny­a adalah tindakan yang kurang baik.

“Mereka pun manusia juga, haiwan pun ada rumah... kalau manusia tidak ada rumah maka ia lebih teruk daripada haiwan,” katanya.

Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, kawasan setinggan bukan sahaja di Tawau tetapi seluruh Sabah akan menjadi keutamaan kerajaan baharu bagi mengurangk­an jumlah itu.

Katanya, perjumpaan dengan beberapa jabatan berkaitan telah dilakukan bagi mengenalpa­sti kawasan baharu untuk pembinaan penempatan baharu yang tersusun agar mampu mengatasi masalah setinggan.

“Kita kena kurangkan setinggan kerana banyak perkara tidak baik berlaku seperti kecurian bekalan air dan elektrik serta kebakaran,” katanya.

Hadir sama di majlis itu ialah Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Jimmy Wong, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Hiew Vun Zin, Pembantu Menteri Kewangan Saripuddin Hatta, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Batu Datuk Hamisa Samat, Adun Elopura Calvin Chong serta tetamu kehormat yang lain.

 ??  ?? JAUJAN (lima kanan), Calvin (empat kanan), Hiew (lapan kiri), Saripuddin (tujuh kiri) dan Hamisa (enam kiri) merakamkan gambar kenangan bersama para penerima sumbangan raya.
JAUJAN (lima kanan), Calvin (empat kanan), Hiew (lapan kiri), Saripuddin (tujuh kiri) dan Hamisa (enam kiri) merakamkan gambar kenangan bersama para penerima sumbangan raya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia