Utusan Borneo (Sabah)

Anwar tawar diri bertanding presiden PKR

-

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menawar diri bertanding jawatan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan parti akan datang.

Ketua Umum PKR itu berkata keputusan itu dibuat setelah berbincang dengan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan kepimpinan, serta mengambil kira segenap pandangan dan keperluan demi kelangsung­an parti berkenaan.

“Dengan penuh kesedaran atas prinsip iltizam bil jamaah, saya menawar diri untuk bertanding jawatan Presiden PKR,” katanya dalam hantaran di Facebook dan Twitter.

“Insya-Allah sekiranya mandat diperoleh dari akar umbi parti seluruh negara, saya akan mengemudi parti selaku Presiden selepas selesai Kongres Nasional Keadilan pada November 2018,” kata Anwar.

Anwar menarik perhatian bahawa ketika ini terdapat beberapa pandangan mengenai keperluan untuk beliau turun ke gelanggang mengemudi parti selaku Presiden menggantik­an isterinya.

Menurutnya, sejak pemilihan PKR pada 2007, beliau telah diminta untuk memimpin PKR selaku Presiden namun sekatansek­atan yang dikenakan pihak Pendaftar Pertubuhan ketika itu ternyata menjadi halangan malah boleh menjurus kepada implikasi pembubaran parti.

“Demi maslahah lebih besar, saya memilih untuk berundur sementara Wan Azizah kekal selaku Presiden PKR,” jelas Anwar.

Beliau seterusnya berkata Wan Azizah telah mengemudi parti sejak 1999 dengan pelbagai ujian, cabaran, dan tribulasi.

Namun, katanya, keyakinan Presiden PKR, kepimpinan dan akar umbi parti serta keazaman rakyat menyaksika­n Pakatan Harapan melangkah ke Putrajaya susulan pilihan raya umum 9 Mei lalu.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia