Projek pusat perbidanan di Bandar Baharu perlu direalisasikan
KULIM: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor berharap tiada lagi halangan dalam membina pusat bersalin di Bandar Baharu di sini selepas ia dimasukkan dalam perancangan kerajaan pusat dan negeri Kedah.
Katanya, pembinaan pusat bersalin perlu direalisasikan bagi memenuhi keperluan golongan wanita di sini yang memerlukan perkhidmatan perbidanan dan sakit puan selepas pembinaan hospital daerah tidak mendapat kelulusan.
“Tak apalah jika permohonan membina hospital tidak diluluskan kerana jumlah penduduk tidak mencapai piawaian yang ditetapkan bagi mewujudkan sebuah hospital.
“Pun begitu, fokus utama kini adalah mendapat kelulusan pembinaan pusat bersalin selepas ia disenaraikan dalam perancangan kerajaan pemerintah dan kita harap ia dilaksanakan segera memandangkan ia adalah fasiliti yang sangat kritikal di daerah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di program Jom Makan Durian-Ingat Durian Ingat Bandar Baharu di FarmStay Relau, Bandar Baharu di sini pada Ahad.
Pada Sabtu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata memang terdapat perancangan oleh kerajaan pusat untuk membina sebuah pusat bersalin di Bandar Baharu.
Katanya, biarpun mungkin tidak mendapat status hospital seperti yang dimohon sebelum ini, pembinaan sebuah pusat bersalin yang lengkap daripada aspek peralatan dan tenaga pakar dilihat sudah cukup memadai buat masa terdekat dalam memberi perkhidnatan kepada penduduk setempat.
Dalampadaitu,Norsabrina berkata beliau akan terus menjadikan Bandar Baharu sebagai lokasi utama tarikan agro-pelancongan terutama bagi penggemar durian.
“Kali ini kita tampil mempromosikan durian varieti tempatan iaitu durian kampung yang mempunyai kualiti dan rasa terbaik.
“Malah kita akan menjadikan FarmStay Relau ini sebagai pusat sehenti bagi penggemar durian mendapatkan raja buah ini di mana tempat ini mempunyai keluasan lebih 16 hektar dusun durian daripada pelbagai varieti,” katanya. - Bernama