KWAP peruntuk RM800 juta bagi usaha ESG antarabangsa
KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) memperuntukkan RM800 juta bagi pelaburan dalam inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) antarabangsa melalui dua pengurus dana.
Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad berkata setakat ini RM520 juta telah diuruskan oleh pengurus dana luar bagi pelaburan ESG tempatan dan antarabangsa.
“Keseluruhannya, kami mempunyai RM3.8 bilion dana ESG, daripada jumlah itu, RM3.3 bilion adalah dana ESG tempatan.
“Kami masih belum menyalurkan jumlah penuh kepada pengurus dana luar dan akan meneruskan langkah itu pada masa depan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Terdahulu, semasa merasmikan Persidangan Alam Sekitar yang julung kali diadakan oleh KWAP, Wan Kamaruzaman berkata pihaknya kekal komited untuk menyokong dan mempromosikan manfaat program pelaburan ESG di samping menggabungkan langkah dalam mewujudkan ketelusan penuh bagi pelabur.
Acara dua hari yang dianjurkan KWAP bersamasama Tabung Alam Sedunia (WWF) itu menarik lebih 400 anggota delegasi daripada 200 organisasi termasuk badan pengawalseliaan dan kerajaan, institusi kewangan, organisasi korporat dan masyarakat awam.
Persidangan bertema Menggerakkan Tindakan untuk Esok yang Lebih Baik itu bertujuan memberi inspirasi kepada komuniti kewangan ke arah menerajui usaha dunia bagi iklim dan alam sektar.