Benefisiari geran komunal Kg Lingkabungan minta JTU tolak pemohonan lesen balak
KOTA KINABALU: Penerima amanah (benefisiari) tanah geran komunal Kampung Lingkabungan, Kota Marudu meminta Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) supaya tidak meluluskan pemohonan salah sebuah syarikat swasta untuk mendapatkan lesen membalak di kawasan berkenaan.
Wakil penerima amanah Jashmir Mokilin berkata, syarikat terbabit mendakwa menerima kelulusan bagi melaksanakan kerja pembersihan di kawasan tanah geran komunal, walhal, tiada persetujuan daripada majoriti penerima amanah.
“Saya bersama benefisiari yang lain sangat terkejut apabila mendapat tahu syarikat terbabit dilantik membersihkan kawasan tanah bergeran komunal seluas 930 ekar di Kampung Lingkabungan 1, melalui surat bertarikh 19 Mac lepas tanpa pengetahuan kami.
“Perbuatan syarikat ini terbongkar apabila saya dan rakan penama dalam geran membuat laporan polis pada 18 Jun yang mana, ada dua benefisiari bersubahat memalsukan tandatangan kami,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Menurut Jashmir, beliau bersama rakannya sudah membuat laporan polis berhubung dua rakan mereka yang melakukan pemalsuan tandatangan.
Katanya, pelaku juga didakwa mengambil kesempatan mendapatkan tandatangan daripada sebahagian pemilik amanah yang tidak pandai membaca.
“Selain itu, kami juga mendapat tahu bahawa setiap daripada mereka yang sudah menandatangani surat persetujuan akan diberikan RM200.
“Difahamkan, 30 peratus penerima amanah sudah menandatangani surat itu, manakala 70 peratus lagi tidak menandatanganinya kerana ia sama sekali tidak pernah dibawa ke meja mesyuarat selama ini,” katanya.