Itut setinggi 53 kaki di Dataran Bandar Sibu sempena BCF 2018
SIBU: Itut atau Tibow yang didirikan di Dataran Bandar Sibu Fasa I sempena Pesta Kebudayaan Borneo (BCF) 2018, mencatat rekod tersendiri dengan ketinggian 53 kaki.
Menurut Sahari Ubu yang bertanggungjawab mendirikan permainan tradisional Melanau itu berkata, dengan ketinggian mencecah 53 kaki, Itut itu akan memberi lebih cabaran dan keseronokan bagi mereka yang mencubanya.
“Ketinggian Itut yang kami dirikan pada tahun ini lebih tinggi berbanding tahun lepas, justeru dengan ketinggian ini akan memberi tempoh ayunan yang lebih lama dan laju.
“Jika lebih pendek, tempoh ayunan juga lebih pendek dan singkat, oleh itu, lebih tinggi lebih bagus,” ujarnya kepada pemberita, baru-baru ini.
Sahari yang juga bekas penghulu Kampung Nangka berkata,padamulanyamereka bercadang mendirikan Itut setinggi 60 kaki.
Bagaimanapun atas sebabsebab tertentu, cadangan mendirikan buaian gergasi itu terpaksa dilupakan.
Didirikan bersama Persatuan Kebajikan Melanau Kampung Nangka Sibu (PKMKNS) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Nangka, Itut ini dijadual siap sebelum BCF yang akan bermula 19 hingga 28 Julai ini.
Sahari berkata, Itut merupakan buaian tradisi Melanau dan mereka amat berbangga dapat mendirikannya untuk dikongsi dengan generasi muda serta semua masyarakat.
“Itut ini dijangka dibuka kepada orang awam pada 19 Julai ini,” katanya sambil meyakinkan orang ramai untuk mencubanya.
Beliau juga memberitahu, kejayaan mendirikan Itut itu merupakan satu pencapaian bagi semua penduduk Sibu.
“Sebagai komuniti Melanau, kami amat berbangga dapat mengekalkan pemainan tradisional ini untuk generasi muda,” jelasnya.
Sahari menjelaskan bahawa terdapat tiga jenis Itut dengan nama yang berlainan diberikan di Sibu, Mukah dan Oya, namun fungsinya tetap sama.
“Tidak mudah untuk mendirikan Itut kerana kami menghadapi kesukaran untuk mendapatkan tiang kayu yang sesuai bagi membina strukturnya.
“Kayu yang digunakan tidak boleh terlalu lembut atau keras. Jika lembut, mudah patah dan jika kayu keras, akan menjadi terlalu berat.
“Keselamatan adalah keutamaan kami dalam mendirikan Itut ini,” tegas beliau.
Pada masa sama, Sahari turut berterima kasih kepada Majlis Perbandaran Sibu (MPS) atas sokongan yang telah diberikan dalam proses mendirikan Itut tersebut.