Majlis Moginakan Aidilfitri meriah
Keprihatinan ibu bapa jana kecemerlangan
Majlis Moginakan Hari Raya Aidilfitri 2018 Sekolah Kebangsaan (SK) Sagindai, Ranau, berlangsung dalam suasana meriah di dewan terbuka sekolah itu.
Guru Besar SK Sagindai Paiman Abdul Ghani berkata penganjuran majlis itu merupakan hasil usaha dan kerjasama seluruh warga sekolah dan juga para ibu bapa yang bertungkus lumus menyediakan pelbagai juadah.
Katanya, bersesuaian dengan bulan Syawal yang baru berlalu, sambutan itu merupakan acara tahunan sekolah bagi menghayati hari-hari perayaan Islam serta merealisasikan hasrat kerajaan dalam membentuk warganegara yang mengamalkan nilai-nilai murni, bertoleransi dan saling menghormati tanpa mengira latar belakang agama serta budaya.
Berucap di majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paginatan Abidin Madingkir berterima kasih atas jemputan merasmikan sekali gus meriahkan majlis itu sambil memuji semangat kesatuan seluruh warga SK Sagindai dan para penduduk kampung khasnya para pemimpin masyarakat setempat yang turut serta dalam majlis itu.
“Syukur kepada Tuhan kerana dengan izin-Nya kita dapat bersama-sama pada pagi ini bagi meraikan Majlis Moginakan Hari Raya Aidilfitri di sini. Saya amat senang hati melihat ibu bapa hadir membantu guru-guru menjayakan program yang mulia ini,” katanya.
Katanya, usaha dan komitmen seumpamanya mencerminkan keprihatinan ibu bapa sekali gus membantu menjana kecemerlangan anak-anak sekolah di sekolah itu.
“Selain tenaga pengajar sekolah ini, peranan ibu bapa juga amat perlu untuk kelancaran penganjuran pelbagai program yang diadakan di sekolah,” katanya yang turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada muridmurid prasekolah di SK Sagindai.
Beliau menambah, tanggungjawab guru sangat kompleks untuk mendidik anak murid di sekolah, manakala ibu bapa pula membantu guruguru, misalnya memantau pembelajaran anak-anak ketika di rumah.
“Tahniah guru-guru SK Sagindai khasnya guru besar dan Yang Dipertua PIBG Janios Godok termasuklah warga pendidik di sekolah serta para ibu bapa yang telah bekerjasama berganding bahu mempersiapkan majlis yang sempurna ini,” ujarnya.
Pada majlis itu, Abidin turut dibawa meninjau dan melihat sendiri kerosakan astaka padang SK Sagindai yang telah usang dan reput dimamah usia. Astaka itu memerlukan tindakan pembaikan atau pembinaan semula demi kemudahan dan keselesaan warga sekolah ketika mengadakan pelbagai aktiviti sepetti acara sukan, gotongroyong dan sebagainya.
Selain meraikan sambutan Aidilfitri, antara objektif sambutan majlis itu ialah membentuk sahsiah diri yang baik dan menghayati kepelbagaian budaya cara hidup masyarakat majmuk, di samping memupuk jalinan silaturahim serta saling bermaaf-maafan sesama warga sekolah.
Turut hadir ialah Ketua Pemuda Upko Ranau Hisyamuddin Harun, Ketua Kampung Sagindai Nuraini, Ketua Kampung Matupang Siansim Kebindong, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kesejahteraan Kampung (JKKK) Sagindai Maznah Jasmin dan Pengerusi JKKK Matupang Wilson Lion.
“Beliau menambah, tanggungjawab guru sangat kompleks untuk mendidik anak murid di sekolah, manakala ibu bapa pula membantu guru-guru, misalnya memantau pembelajaran anak-anak ketika rumah.” di PAIMAN ABDUL GHANI Guru Besar SK Sagindai