Liverpool tawar 62 juta pound ‘pujuk’ AS Roma untuk jual Alisson
LONDON, England: Liverpool telah membuat satu tawaran rekod dunia bernilai 62 juta pound untuk seorang penjaga gol – Alisson Becker dalam usaha menyelesaikan isu berpanjangan di gawang gol.
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, menyedari di mana beliau harus menyelesaikan isu di pintu gol jika pasukannya mahu terus meningkat dan Allison sudah lama menjadi pemain yang beliau mahukan untuk menggantikan Loris Karius.
Kelab Chelsea juga difahamkan mahukan khidmat penjaga gol antarabangsa Brazil itu tetapi Liverpool sekarang melakukan satu tindakan lebih serius.
Menurut sumber di Itali, tawaran berjumlah 53 juta pound dengan tambahan lain bernilai 9 juta.
Liverpool mempunyai perhubungan yang baik dengan kelab semasa Alisson, AS Roma dan mula menyuarakan minat mereka terhadap Alisson pada bulan Januari lepas.
Tawaran mereka itu adalah jauh dari rekod semasa untuk seorang penjaga gol, yang dicipta oleh Manchester City apabila mendapatkan Ederson dengan yuran perpindahan 35 juta pound pada musim panas lepas.
Namun ia mungkin sukar untuk meyakinkan pengarah bola sepak Roma, Monchi – untuk menjual dengan harga murah.
Roma percaya mereka membenarkan Mohamad Salah menyertai Liverpool dengan harga yang murah dan mereka pastinya mahukan ‘pampasan’ sekarang.
Roma mempunyai beberapa isu kewangan pada awal musim panas ini selepas didenda kerana melanggar Peraturan Kewangan Bersih pad 2015, tetapi ia diselesaikan apabila menjual Radja Nainggolan ke Inter Milan pada bulan Jun. Mereka sekarang tidak mempunyai sebarang tekanan untuk menjual Alisson dan kerana itu, boleh menuntut harga yang lebih tinggi lagi.
Apa pun, Liverpool berazam untuk mendapatkan Alisson dan tidak lagi mampu mengharungi satu musim dengan kesilapan Karius.
Penjaga gol dari Jerman itu, yang melakukan dua kesilapan di final Liga Juara-Juara dan membolehkan Real Madrid muncul juara pada bulan Mei, mengulangi kesilapan yang sama ketika perlawanan pramusim kelab.
Beliau melakukan kesilapan yang hampir sama ketika Liverpool menang 3-2 di Tranmere minggu leaps dan ketika Klopp seorang yang setia kepada pemainnya, beliau mengakui Karius mempunyai tugas yang sukar untuk mengembalikan keyakinan untuk diturunkan sebagai penjaga gol nombor satu.
Liverpool juga menimbangkan untuk mendapatkan penjaga gol Atletico Madrid, Jan Oblak tetapi pemain itu mempunyai klausa pelepasan kontrak bernilai 89 juta pound.
Nick Pope, penjaga gol Burnley, juga dalam cadangan tetapi bernilai lebih 20 juta pound.
Setakat ini, Liverpool sudah mendapatkan pemain tengah Naby Keita, Fabinho dan Xhedran Shaqiri untuk jumlah keseluruhan 100 juta pound tetapi keutamaan mereka sekarang ialah di posisi penjaga gol.
Selepas mencipta rekod dunia untuk seorang pemain pertahanan apabila mendapatkan Virgil Van Dijk pada bulan Januari, Klopp dijangka akan mencipta satu lagi rekod dengan Alisson. — Reuters