Kerajaan komited kurangkan beban guru
CYBERJAYA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan komited untuk melaksanakan pengukuhan sistem persekolahan ke arah lebih baik di samping memastikan guru-guru mampu menikmati profesion yang lebih cemerlang.
Berdasarkan statistik My Local Stats 2017 berkaitan pendidikan yang dilancarkannya pada Khamis, Dr Wan Azizah berkata statistik nisbah guru-murid di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan ialah 1:11.6 bagi sekolah rendah dan 1:11.3 bagi sekolah menengah.
“Nisbah gurumurid penting dalam meningkatkan kualiti murid dan mengurangkan beban guru tidak kira di bandar atau luar bandar,” katanya yang Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika berucap pada Majlis Statistik Mensejahterahkan Rakyat di sini, Khamis.
Media hari ini melaporkan masalah kemurungan dalam kalangan guru disifatkan cukup serius ketika ini terutamanya membabitkan mereka yang bertugas di bandar besar.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Kamarozaman Abd Razak dilaporkan berkata perkara itu berlaku akibat bebanan yang semakin meningkat apabila guru-guru perlu mengendalikan kelas yang mempunyai 60 murid sedangkan sekolah di luar bandar hanya mempunyai bilangan murid separuh daripada jumlah itu.
Beliau berkata jumlah murid yang terlalu ramai dalam kelas menjadikan tugas mengajar lebih mencabar dan tugas perkeranian juga bertambah. - Bernama