KPP, Petronas dan SOGDC anjur Forum Perundingan
KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (KPP) dengan kerjasama Petronas dan Sabah Oil & Gas Corporation Sdn Bhd (SOGDC) mengadakan Forum Perundingan dan Penglibatan Strategik SabahPetronas di sebuah hotel di sini pada Khamis.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, forum itu adalah inisiatif untuk menghasilkan satu pelan tindakan kompherensif bagi membawa industri petroleum dan gas ke satu tahap yang lebih tinggi.
“Terutama sekali dalam memacu industri hiliran petroleum dan gas di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan forum berkenaan.
Beliau berkata, petugas khas petroleum dan gas telah ditubuhkan yang diterajui SOGDC untuk meninjau keberkesanan kerjasama dan apa juga yang diutara dan dibincangkan dalam forum berkenaan.
Madius yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian berkata, forum itu akan menjadi satu permulaan yang baik.
“Kita telah menjemput para pemain dalam industri minyak dan gas untuk menghadiri forum berkenaan.
“Melalui forum ini, kita akan membuat rumusan tertentu kerana yang paling penting forum ini akan menjadi satu landasan membuat jaringan persahabatan dalam kalangan pemain industri,” katanya.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada para pegawai kanan Petronas yang telah meluangkan masa untuk datang dan menghadiri forum itu.
“Saya berharap selepas forum ini kita dapat bersamasama bekerja sebagai satu pasukan, sebagai sebuah negara, sebagai sebuah negeri untuk membawa industri petroleum dan gas ke satu tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Forum itu turut dihadiri pengerusi Petronas Sabah dan Labuan Mohd Zaini Mohd Yunus, Timbalan Setiausaha Tetap KPP Tseu Kei Yue, Ketua Pegawai Perhubungan Strategik Petronas Idris Ibrahim, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif SOGDC Abdul Kadir Abdullah serta Pengarah Jabatan Perdagangan, Perindustrian dan Penyelidikan Patrick Tan.