Penyelamat Greek cari mangsa di dalam rumah, kereta rentung
ATHENS:Sekurang-kurangnya 81 orang maut dalam kebakaran hutan besar di sekitar Athens, kata pihak berkuasa Greece, manakala penyelamat memeriksa rumah yang terbakar dan kereta yang rentung untuk mencari mangsa salah satu kebakaran paling buruk di dunia.
Puluhan penduduk tempatan dan pelancong lari ke laut untuk cuba menyelamatkan diri daripada kebakaran yang menjalar ke bandar dan kampung dekat ibu negara selepas ditiup oleh ribut selaju 100 kilometer sejam, selain memusnahkan hutan jarang dan ratusan bangunan.
Media Greece menyifatkan bencana itu sebagai satu “tragedi kebangsaan” manakala Perdana Menteri Alexis Tsipras memendekkan lawatan ke Bosnia dan mengumumkan tempoh berkabung selama tiga hari di seluruh negara.
Seorang pemuda dari Ireland yang sedang berbulan madu adalah antara mangsa yang maut, kedutaan Britain di Greece mengesahkan.
Menurut media Britain, Brian O’Callaghan-Westropp sedang berbulan madu di perkampungan tepi pantai Mati apabila keretanya terperangkap dalam kebakaran hutan.
Walaupun isteri baharunya Zoe berjaya menyelamatkan diri ke sebuah pantai berdekatan, dia telah dibawa ke hospital dengan kelecuran, kata laporan.
Jurucakap jabatan bomba Stavroula Maliri kelmarin berkata 81 orang kini diketahui sudah maut. Bilangan itu mengatasi jumlah 77 yang maut dalam kebakaran berdarah dahulu di Greece, di pulau selatan Evia pada 2007.
Selain lelaki dari Ireland itu, mangsa lain termasuk tiga pelancong lain – seorang ibu dari Poland dan anak lelakinya selain seorang warga Belgium dengan anak perempuan remaja yang terselamat daripada kebakaran.
Maliri berkata anggota bomba terus mencari mayat selepas menerima banyak panggilan yang melaporkan kehilangan orang.
Ada kemungkinan beberapa orang yang tidak dapat dicari “akan menjadi salah seorang mangsa”, kata Maliri.
Dia menambah saudaramara mangsa yang hilang telah dipinta untuk menyediakan sampel DNA bagi membantu pihak berkuasa untuk mengecam mayat.
Ketika kebakaran berlaku pada petang Isnin lepas, pelancong dan penduduk yang ketakutan telah dikepung oleh api di rumah, ketika berjalan kaki atau di dalam kereta mereka.
Jurugambar AFP ternampak mayat orang dan anjing yang rentung.
Mangsa selamat memberikan laporan yang menakutkan tentang bagaimana mereka melarikan diri sehelai sepinggang daripada kebakaran yang bergerak dengan cepat, manakala api menjilat seluruh bandar.
“Suami saya berkata kami terpaksa pergi bersama cucu lelaki kami yang berusia tujuh tahun,” kata Kiriaki Alexiadou, seorang penduduk di perkampungan Mati yang musnah, kepada AFP.
“Kami lari ke kereta ketika kon pain sedang terbakar di atas pokok.”
Sambil menahan sebak kelmarin, dia menunjuk kepada kerangka rumah yang rentung di sebelah rumahnya.
“Anggota polis wanita yang tinggal di sana, suaminya dan dua anak mereka berjalan kaki menuju ke arah laut tetapi mereka diperangkap oleh dinding api ini.”
Mayat rentung 26 orang, termasuk kanak-kanak kecil, dijumpai di sebuah vila di Mati, 40 kilometer ke timur laut Athens, kata penyelamat.
Pasukan penyelamat kelmarin pergi dari rumah ke rumah untuk mencari orang hilang di perkampungan itu.
Sukarelawan turut menjalankan tugas untuk memberi makanan kepada mereka dengan rumah yang terselamat tetapi terputus bekalan elektrik dari semasa ke semasa sejak kebakaran berlaku.