Kejohanan Tenis Berpasukan Jemputan Sabah ditunda
KOTA KINABALU: Edisi ke-11 Kejohanan Tenis Berpasukan Jemputan Sabah 2018 yang sepatutnya berlangsung di sini pada September telah ditunda ke 5-7 Oktober.
Presiden Persatuan Tenis Sabah (STA), Johnson Koh berkata, penundaan disesuaikan dengan sambutan rasmi ulangtahun kelahiran TYT Sabah yang telah ditetapkan pada setiap Sabtu pertama Oktober atau pada 6 Oktober tahun ini.
“Kejohanan ini memang dianjurkan sempena sambutan ulangtahun kelahiran TYT Sabah yang sebelum ini pada 16 September. Oleh itu, penundaannya wajar kerana tarikh asal bertembung dengan sambutan Hari Malaysia pada 16 September dan ketika Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 Perak masih berlangsung,” kata Johson dalam kenyataan akhbarnya pada Khamis.
Beliau berharap penundaan itu tidak menjejaskan penyertaan. “STA berharap pasukan yang telah menyertai kejohanan ini pada 10 edisi sebelum ini akan terus mengambil bahagian. Kepada pasukan yan telah membuat tempahan awal, kami memohon maaf kerana terpaksa mengubah jadual,” katanya.
Sambil itu, Johnson juga telahmenjemput Menteri Belia Dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melakukan kunjungan pertama ke kejohanan itu yang juga kejohanan terbesar dalam kalender STA.
“Pada edisi-edisi sebelum ini, kejohanan ini telah menarik penyertaan pasukan dari dalam dan luar negara seperti Australia, USA, New Zealand, Hong Kong, Thailand, Japun, Korea, Indonesia, Taiwan, India, Pakistan dan Uzbekistan,” kata Johnson.
Katanya, STA gembira kerana penyertaan dari luar negara itu sekaligus membantu menjadikan negeri ini sebagai destinasi sukan pelancongan.
Beliau berharap STA juga akan terus mendapat sokongan yang dinikmatinay selama ini daripada Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) Sabah, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar serta pejabat Jabatan Ketua Menteri di bawah kerajaan baharu.