`Badang’ Sabah sasar dua emas Mr Malaysia
KOTA KINABALU: Skuad `Badang’ Sabah sasar dua pingat emas pada Kejohanan Bina Badan Mr Malaysia 2018 di Melaka, 17-20 Ogos depan.
Jurulatih, Joseph Sylvester berkata, Sabah akan diwakili skuadpenuhuntukbertanding semua 11 kategori yang dipertandingkan.
“Sabah akan diwakili skuad penuh untuk bertanding semua 11 kategori yang dipertandingkan dan kami sasarkan dua pingat emas di samping tiga perak dan tiga gangsa,” kata Joseph ketika dihubungi pada Jumaat.
Mengetuai senarai `badang’ Sabah itu adalah penyandang gelaran Juara Antara Juara Mr Sabah 2018, Remy Rahim Bungkal yang akan bertanding dalam kategori middleweight.
Atlet lain terdiri daripada Leonardo Elnino Yam (junior welter), Jayde Emmanuel Julius (junior light), Yakob Mangkabung (masters), Henro Lee (lightweight), Reano Enggah (light middleweight), Kenny Leon (light flyweight), Christie Cletus (light heavy) dan Chok Lei Fong (heavyweight).
Dua atlet lagi akan bertanding dalam acara Fizikal iaitu Terrence Watis (kategori 170cm ke bawah) dan Dean Julian (170cm ke atas).
Selain Joseph, turut akan bersama pasukan adalah PresidenPersatuanBinaBadan Sabah Joannes Staneslous selaku pengurus pasukan, Alik Makim (pengadil), Jeffery Thadeus (penolong jurulatih), Meilaura Dora Jimmy (pegawai teknikal) dan Deborah Lynn Onul (pegawai pengiring).
Sambil itu, Joannes mengingatkan semua atlet membuat persiapan terbaik bagi memastikan mereka berada di tahap terbaik menjelang kejohanan.
“Masih ada sedikit masa.. manfaatkanlah masa ini untuk buat persiapan terakhir bagi memastikan anda bersedia sepenuhnya pada kejohanan nanti.
“Kamu akan bersaing dengan jaguh-jaguh dari seluruh negara, oleh itu saya harap kamu berada di tahap terbaik untuk memberi saingan sengit,” katanya.
Sementara itu, skuad `badang’ Sabah itu mendapat suntikan moral apabila menerima tajaan pakaian dan pewarna badan daripada syarikat Mizume Tours & Travel bernilai RM6,500.
Tajaan itu disampaikan pengarah Mizume Tours & Travel, Shenny Ting di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini baru-baru ini.