U2 pemuzik berpendapatan tertinggi di AS tahun lepas
KUMPULAN U2 mungkin bukan wajah paling segar dalam muzik tetapi kumpulan rock dari Ireland itu merupakan penerima pendapatan tertinggi dalam industri tersebut di Amerika Syarikat pada tahun lalu, kata Billboard dalam satu tinjauan tahunannya barubaru ini.
U2 menerima pendapatan sebanyak AS$54.4 juta pada tahun lepas – lebih 95 peratus daripadanya hasil jelajah di mana Bono dan rakan-rakan menarik peminat yang memenuhi stadium untuk konsert bagi menandakan 30 tahun sejak album mereka yang sangat besar pengaruhnya ‘The Joshua Tree’.
Bintang country veteran Garth Brooks mengekori rapat di tempat kedua dengan pendapatan sebanyak AS$52.2 juta tatkala dia meneruskan jelajah besar-besaran yang dilancarkan pada 2014 apabila dia keluar daripada persaraan, manakala kumpulan metal legenda
Metallica menduduki tempat ketiga dengan AS$43.2 juta.
Lady Gaga merupakan wanita yang menerima pendapatan tertinggi di tempat nombor enam, manakala pemenang Hadiah Pulitzer, Kendrick Lamar, merupakan penyanyi rap yang mengaut keuntungan tertinggi di tempat nombor 13.
Billboard mengesahkan jelajah telah menjadi kaedah utama bagi hasil pendapatan untuk pemuzik dalam era jualan album tradisional yang tidak berkembang tetapi kebangkitan yang begitu cepat dalam striming.
Di kalangan 50 artis yang mengaut keuntungan paling tinggi, jelajah menyumbang kepada hampir 80 peratus hasil pendapatan.
Hanya dua orang artis sahaja yang tidak mengadakan jelajah pada tahun lepas berjaya memasuki senarai ‘Top 50’ – Drake, yang menduduki tempat ke-37 dan raja striming yang menerima AS$8.6 juta dari Apple Music, Spotify dan platform atas talian lain, dan Taylor Swift, yang menduduki tempat ke-48 dan menerima kebanyakan hasil pendapatannya menerusi jualan cakera padat (CD) cara lama dan muat turun. — AFP