Utusan Borneo (Sabah)

PLKN, BTN dimansuh

-

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk memansuhka­n Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tata Negara (BTN) dengan sertamerta, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata keputusan itu telah dipersetuj­ui dalam mesyuarat Kabinet minggu lalu setelah mendapati PLKN dan BTN telah disalah guna bagi tujuan indoktrina­si fahaman tertentu.

Menurutnya kedua-dua program berkenaan akan digantikan dengan program baharu yang akan memberi fokus dalam membentuk belia yang berwawasan.

“Buat masa ini, semua pegawai dan aset PLKN dan BTN akan diletakkan di bawah jagaan Kementeria­n Belia dan Sukan sebelum program baharu itu diperkenal­kan.

“Perjumpaan dengan semua pemegang taruh yang terlibat akan ditetapkan, kita akan turut berjumpa dengan pihak Khazanah (Nasional Berhad) supaya boleh dilakukan satu kolaborasi dalam merangka program ini, “katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini, Isnin.

Dalam perkembang­an berasingan, Syed Saddiq berkata program 1Malaysia For Youth (iM4U) akan distruktur semula bagi memastikan objektif sebenar program tersebut dapat dilaksanak­an.

Beliau berkata ini kerana, pihaknya mendapati, program tersebut telah disalah guna bagi tujuan politik.

“iM4U akan kita baik pulih dalam membawa budaya kesukarela­wan kepada anak muda. Lantikan di bawah program ini juga akan dilihat semula supaya hanya mereka yang layak dan mempunyai pengalaman dalam program kesukarela­wan sahaja akan dilantik,” katanya. Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia