Bangunkan aplikasi pintar
Saranan kepada pengusaha pelancongan luar bandar
KOTA BELUD: Pengusaha pelancongan luar bandar di negeri ini disaran membangunkan aplikasi yang boleh dimuat turun di telefon pintar untuk industri itu.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Ewon Benedick berkata, aktiviti promosi, tempahan, soal selidik dan transaksi berkaitan boleh dibangunkan dalam satu aplikasi telefon pintar untuk kemudahan orang ramai terutamanya pelancong.
“Ini penting kerana kebanyakan pengguna masa kini lebih banyak memilih untuk menggunakan aplikasi pintar yang boleh dimuat turun untuk pelbagai urusan berkaitan.
“Oleh itu, saya fikir ini adalah satu potensi yang boleh dibangunkan oleh para pengusaha pelancongan termasuk di Kadamaian. Ini juga merupakan sebahagian daripada revolusi perindustrian yang kini menjadi trend di seluruh dunia. Saya berharap kita tidak ketinggalan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Malam Apresiasi Persatuan Pelancongan Kadamaian (Kata) di Dewan Kompleks Sukan Botung, di sini.
Turut hadir, Pegawai Daerah Kota Belud Abdul Gari Itam, Pengerusi Penganjur yang juga Pengerusi Kata Walter Kandayon dan para pengusaha pelancongan Kadamaian.
Ewon yang juga Adun Kadamaian berkata, dalam usaha untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur, para pengusaha pelancongan boleh menggunakan aplikasi telefon pintar untuk penawaran pakej pelancongan yang lebih baik.
“Kita harus menggunakan kelebihan yang tersedia pada telefon pintar untuk memacu lagi industri pelancongan luar bandar kita. Ia harus bergerak seiring,” katanya.
Beliau turut memuji usaha Kata menyelaras aktivitiaktiviti urustadbir yang berkaitan dengan pelancongan luar bandar di Kadamaian.
“Daripada mula persatuan ini ditubuhkan, saya terus konsisten membantu industri pelancongan di Kadamaian sama ada melalui persatuan ini ataupun terus kepada komuniti pengusaha pelancongan di peringkat kampung. Saya komited untuk terus membantu sektor ini untuk manfaat bersama di Kadamaian terutamanya dalam penciptaan sumber pendapatan,” katanya.
Ewon berkata, beliau akan melihat bagaimana kemudahan infrastruktur asas yang berkaitan seperti jalan luar bandar, jalan perhubungan desa (JPD), bekalan air dan kemudahan ameniti sosial dapat dinaiktaraf.
“Kita akan bekerjasama dengan KPLB Persekutuan dan Kementerian Pelancongan Sabah untuk merancang dan melaksanakannya secara efektif dan bersepadu. Saya bersama KPLB Persekutuan meluangkan masa dua hari yang lalu untuk meninjau jalanjalan di Kadamaian yang harus dinaiktaraf di bawah JPD,” katanya.
Dalam majlis itu juga, beliau menyampaikan cek sumbangan berjumlah RM30,000 kepada Kata sebagai komitmen sokongan beliau kepada pembangunan pelancongan Kadamaian.
Beliau juga telah menyampaikan sijil penghargaan kepada pengusaha-pengusaha pelancongan dan individuindividu yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan pelancongan di Kadamaian.
Terdahulu itu, Walter berkata setakat ini sebanyak 60 pusat pelancongan di Kadamaian berdaftar dengan Kata, dengan keahlian lebih 5,000 orang.
“Saya yakin pengusaha pelancongan di Kadamaian lebih daripada itu kerana masih ramai yang belum berdaftar dengan Kata,” katanya.
Beliau berkata, pada tahun lalu, seramai 80,000 pelancong melawat Kadamaian dan daripada jumlah itu, 10 peratus adalah pelancong asing manakala jumlah pendapatan pula kira-kira RM900,000.
“Setakat Julai 2018, seramai 49,000 pelancong melawat Kadamaian dengan jumlah pendapatan lebih RM500,000,” katanya.
“Ini penting kerana kebanyakan pengguna masa kini lebih banyak memilih untuk menggunakan aplikasi pintar yang boleh dimuat turun untuk pelbagai urusan berkaitan.
EWON BENEDICK
Menteri Pembangunan Luar Bandar