Utusan Borneo (Sabah)

Hoki: Syed Saddiq hormati keputusan presiden, timbalan KHM lepas jawatan

-

PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menghormat­i hasrat Presiden Konfederas­i Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal dan Timbalan Presiden Kanan KHM Datuk Dr S Shamala yang mahu melepaskan jawatan masing-masing, sekiranya skuad hoki lelaki negara gagal melayakan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Syed Saddiq berkata beliau masih belum berjumpa kedua-dua pemimpin berkenaan, namun menyatakan hasrat untuk menemui mereka tidak lama lagi.

“Saya belum sempat berjumpa tetapi saya akan jumpa mereka. Saya menghormat­i hak mereka, tetapi dalam soal ini yang paling mustahak sekali saya sebagai Menteri Belia dan Sukan akan memberi sokongan padu sebaik mungkin.

“…dan kita lihat bagaimana kita boleh mencari titik pertemuan untuk kita membangunk­an sukan hoki negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran badan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Cintai Malaysia (PCM) dan Tabung Harapan fizikal NGO berkenaan, di sini.

Dalam laporan akhbar tempatan Jumaat lepas, Subahan berpendiri­an untuk melepaskan jawatan yang disandangn­ya sekiranya skuad hoki lelaki negara terus gagal melayakkan diri ke temasya sukan terbesar di dunia itu.

Tindakan itu disusuli Shamala yang membuat pengumuman pada sidang media sempena mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-65 badan induk itu kelmarin.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata beliau mempertimb­ang hasrat Naib Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), C. C. Boo yang berharap agar beliau membantu mempercepa­tkan proses mendapatka­n jurulatih bagi barisan pemain golf negara. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia