Identiti dua suspek pecah masuk kedai terbongkar
LIMBANG: Identiti dua lelaki bertopeng yang memecah masuk sebuah kedai kimpalan besi di kawasan industri Jalan Kubong awal bulan Jun lepas terbongkar apabila mereka ditangkap Ahad lepas.
Kedua-dua suspek, masingmasing berumur 31 tahun dari Kampung Limpaong dan 34 tahun dari Kampung Bunga Raya, ditahan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di dua lokasi berasingan di bandar ini sekitar jam 10 dan 11 pagi.
Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata, kelibat kedua-dua suspek yang menutup muka dan memakai topi keledar berjaya dirakam kamera litar tertutup premis terbabit.
“Kedua-dua suspek melompat masuk ke dalam kedai melalui pintu pagar luar dan mengambil barangbarang di dalam kedai sebelum melarikan tiga mesin pencanai besi, satu unit mesin gerudi dan satu set mesim kimpalan,” katanya kepada media pada Selasa.
Kejadian itu menyebabkan mangsa, seorang peniaga, 56, mengalami kerugian RM2,500.
Hasil risikan dan siasatan katanya, kedua-dua suspek berjaya ditahan Ahad lepas selepas dua bulan kes kecurian itu berlaku.
“Hasil siasatan lanjut, suspek berusia 31 tahun itu berjaya menunjukkan beberapa barang disyaki barang curi yang disimpan di sebuah rumah di Kampung Pahlawan jam 10 pagi Isnin.
“Manakala suspek berusia 35 tahun itu turut menunjukkan polis beberapa barangan curi yang di sembunyikan di sebuah rumah di Kampung Bunga Raya,” jelasnya.
Sementara itu Mohd Bukhori memberitahu, seorang lagi suspek, 29, dari Kampung Pahlawan, ditahan kerana disyaki memiliki barangan curi awal pagi Selasa.