Kerajaan pergiat strategi eksport minyak sawit, terutama ke China
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempergiat strategi meningkatkan eksport minyak sawit negara, khususnya, dalam mendepani cabaran pemasaran di China, dan akan membentuk kerjasama perdagangan yang lebih erat dengan negara itu, kata Menteri Industri Utama Teresa Kok. Menurutnya kementerian berkenaan akan menandatangani memorandum kerjasama dan rundingan perdagangan bebas untuk memudahkan pengeksportan produk minyak sawit Malaysia ke China.
“Lawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke China yang dijadualkan bulan ini, akan digunakan sebagai platform untuk mengadakan pertemuan dan perbincangan bagi mewujudkan kerjasama dengan Kerajaan China,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan asal Dr Azman Ismail (PKR-Kuala Kedah) yang bertanyakan strategi kerajaan bagi meningkatkan eksport minyak sawit Malaysia dalam mendepani cabaran pemasaran di Eropah dan China.
Jawapan Kok dibacakan oleh Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Kok berkata kerajaan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) juga akan menganjurkan pelbagai forum dan menjalankan penyelidikan berkaitan penggunaan minyak sawit serta produk berasaskan sawit di negara tersebut bagi meningkatkan eksport minyak sawit Malaysia.
“Aktiviti lain seperti lawatan kerja, misi ekonomi dan teknikal ke negara anggota Kesatuan Eropah (EU) serta penyertaan dalam pelbagai persidangan, ekspo perdagangan serta pameran, akan dipergiat.
“Ini bertujuan untuk berinteraksi dengan penggiat industri minyak sayuran dan lelemak serta pihak berkepentingan,” katanya.
Beliau juga berkata Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) yang masih dalam proses rundingan, boleh dimanfaatkan bagi meningkatkan perdagangan minyak sawit Malaysia ke rantau Eropah.
Kerjasama turut diadakan dengan perikatan di EU yang terlibat dalam industri sawit untuk menggalakkan penggunaan minyak sawit.
Ini termasuk ‘European Palm Oil Alliance’, Kumpulan Penasihat Minyak Sawit Lestari Eropah dan Minyak Sawit Lestari Belgium.
“Kerjasama ini dapat membantu penyebaran imej positif minyak sawit di EU dan seterusnya meningkatkan penerimaan dan penggunaan minyak sawit,” katanya. — Bernama