Kepentingan air bersih
Life Water Industries SB @ K2 anjur program ceramah
AIR merupakan elemen terbesar dalam tubuh badan dan dikatakan kira-kira 70 peratus daripada kandungan tubuh kita adalah terdiri daripada air.
Justeru, kita disarankan untuk meminum air bersih sekurang-kurangnya dua liter air sehari untuk memenuhi keperluan badan kita pada setiap hari.
Air memainkan peranan yang sangat penting, bukan sahaja untuk kelangsungan hidup manusia, malah alam hidupan lain seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan juga amat memerlukan air untuk hidup.
Dalam konteks kehidupan manusia, air merupakan antara keperluan asas kepada manusia.
Mengikut kajian, badan manusia boleh bertahan sehingga empat minggu tanpa makanan, tetapi manusia hanya boleh hidup sehingga tiga hari sekiranya tidak minum air.
Air untuk memenuhi keperluan hidup manusia boleh diperolehi dari pelbagai sumber seperti air paip, air hujan, sungai, kolam dan sebagainya.
Namun, badan kita memerlukan air yang bersih untuk diminum demi mengekalkan kesihatan badan dan menghindari penyakit atau pelbagai kesan sampingan yang mungkin boleh memudaratkan kesihatan.
Air dalam badan kita berperanan penting sebagai pengangkutan nutrien, hormon, toksin dan hasil kumbahan dalam sistem badan.
Berdasarkan kajian, kebanyakan rakyat di Malaysia tidak meminum air yang mencukupi sehingga mereka mengalami dehidrasi atau kekurangan air dalam badan.
Isu kepentingan air bersih, penghijauan dan penjagaan alam sekitar termasuklah penggunaan barang atau bahan kitar semula merupakan antara aspek
BEBERAPA murid SK Sg Manila terpegun melihat contoh air kotor dalam botol kecil yang berubah menjadi bersih dan jernih selepas menjalani penapisan buatan sendiri.
penting yang perlu diberi pendidikan, kesedaran dan pendedahan pengetahuan kepada masyarakat umum, bermula di peringkat sekolah khasnya dalam kalangan para pelajar.
Sehubungan itu, Life Water Industries Sdn Bhd @K2 yang terletak di Jalan Lintas Sibuga (Batu 8) Sandakan telah, sedang dan akan terus menggerakkan inisiatif mengadakan program ceramah ‘Air Kita, Hidup Kita’ ke sekolah-sekolah di negeri Sabah, secara berperingkat.
Pembantu Pemasaran Life Water Indistries Sdn Bhd @ K2 Sandakan Asriani Hassan @Aney berkata program ceramah ke sekolah-sekolah telah diadakan sejak beberapa tahun lalu dan dari Januari hingga Ogos 2018 ini sahaja, pihaknya telah mengadakan ceramah itu ke hampir 20 sekolah di Sabah.
Katanya, ia dijalankan sebagai usaha memupuk kesedaran masyarakat dan memberi pengetahuan tentang kepentingan air bersih untuk kehidupan, selain ia merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihak berkenaan.
Menurutnya, objektif program ialah menyampaikan pelbagai maklumat dan perkongsian kepada para pelajar tentang kepentingan menggunakan air besih dalam kehidupan seharian.
Selain itu, ia juga bertujuan menunjukkan langkahlangkah pemprosesan untuk mendapatkan air yang bersih seperti melakukan proses penapisan air sendiri dengan menggunakan bahan-bahan yang mudah diperolehi.
“Program ini juga dijalankan untuk memberi kesedaran dan pendedahan kepada para pelajar tentang kepentingan menjaga alam sekitar dengan melakukan aktiviti menghasilkan pelbagai barang keperluan, menggunakan bahan kitar semula seperti botol plastik terpakai,” katanya.
Aney menjelaskan program ceramah dan aktiviti yang berlangsung hanya dalam tempoh dua jam itu, melibatkan sesi perkongsian maklumat melalui ceramah bertajuk ‘Air Kita, Hidup Kita’ dan kepentingan air bersih, sesi demonstrasi tentang langkah-langkah penapisan air sendiri, sesi kraftangan, sesi soal selidik, pemberian air minuman botol (K2) secara percuma dan juga pemberian minuman isotonik ‘Tritonic’.
Menurutnya, dalam sesi kraftangan, para pelajar akan berpeluang membuat kraftangan daripada bahanbahan kitar semula, khasnya botol-botol plastik terpakai untuk menghasilkan pelbagai produk yang boleh dimanfaatkan, sekali gus membantu menjaga kebersihan alam sekitar.
Beliau menambah, melalui program jelajah dan ceramah yang dijalankan ke sekolahsekolah, para pelajar akan dapat menimba pelbagai ilmu pengetahuan tentang kebaikan meminum air bersih serta kesan baik terhadap tubuh badan manusia.
Katanya, pelajar dan pihak sekolah juga akan memperolehi pengetahuan dan kemahiran tentang bagaimana proses penapisan air sendiri dengan menggunakan bahan-bahan yang mudah diperolehi, sekali gus dapat mempertingkatkan idea, kreativiti dan inovasi untuk menghasilkan barang-barang kitar semula daripada botol plastik terpakai.
Melalui aktiviti itu katanya, para pelajar akan lebih cenderung untuk menghargai dan mengumpul barang-barang kitar semula yang boleh diguna pakai dan seterusnya memupuk kesedaran terhadap kepentingan mengekal dan menjaga alam sekitar daripada pencemaran.
Menurutnya, pada setiap program itu, sesi soal jawab akan dijalankan pada penghujung ceramah sebagai refleksi bagi mempertingkatkan ingatan dan pemahanan tentang info pendidikan ‘kepentingan air bersih’ berdasarkan ceramah yang telah disampaikan.
“Kesemua aktiviti itu juga akan dipaparkan di laman sosial (Facebook Life Water) dan akan dikongsi bersama ‘Facebook Sekolah’, dan secara tidak langsung program atau aktiviti bermanfaat serta berinformasi itu akan tersebar luas,” katanya.
Antara sasaran utama pihaknya mengadakan program itu ialah sekolahsekolah di kawasan luar bandar atau pedalaman yang mungkin kurang didedahkan mengenai kepentingan air bersih disebabkan ketiadaan kemudahan bekalan air paip, memasak air tanpa menggunakan penapis dan sebagainya.
Aney berkata, program ceramah jelajah terkini yang dilaksanakan pihaknya telah berlangsung dengan jayanya di Sekolah Kebangsaan (SK) Sg Manila, Sandakan dan SK Kolapis, Beluran baru-baru ini.
Antara sekolah yang telah dikunjungi oleh pihak Life Water Industries untuk mengadakan program ceramah Air Kita, Hidup Kita pada tahun ini ialah SK Kampung Libang Ranau, SK Belatik Kimanis Papar, SK Mansud Kuala Penyu, SK Ladang Sabapalm Beluran dan SK Jaya Baru Kinabatangan.
Turut terlibat ialah SK Sungai Nangka Beluran, SK Gayaratau Tamparuli, SK Bingkol Pitas, SK Pituru Kota Belud, SK Tagas-Tagas Beluran, SK Terusan Lahad Datu, SK Pinalabu Kota Belud dan SJK(C) Sin Wah Lahad Datu.
Sementara itu, Guru Besar SK Sg Manila, Zaini Osman merakamkan penghargaan kepada pihak Life Water Indistries kerana mengadakan program ceramah di sekolah itu yang terletak 28 kilometer dari bandar Sandakan.
Katanya, program itu amat baik dan bermanfaat kepada seluruh warga sekolah yang mendapat pendedahan berguna tentang kepentingan air bersih, proses penapisan air, konsep kitar semula barangan terpakai khasnya botol minuman, penjagaan alam sekitar dan sebagainya.
Hampir 500 orang menghadiri program itu yang terdiri daripada murid Tahap Dua (Tahun 4, 5 dan 6) serta guru-guru dan kakitangan sekolah SK Sg Manila.