Utusan Borneo (Sabah)

KM enggan jawab isu sekat kemasukan individu tertentu ke Sarawak

-

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg enggan menjawab gesaan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Sarawak yang mahu Kerajaan Sarawak menyemak semula penggunaan undang-undang yang menyekat individu tertentu masuk ke negeri ini.

Gesaan itu dibuat ekoran insiden melibatkan Naib Ketua Pemuda AMANAH Shazni Munir Mohd Ithnin yang dihalang masuk ke negeri ini sebaik tiba di Lapangan Terbang Sibu pada Jumaat.

“Tidak perlu dijawab perkara itu,” kata Abang Johari ketika ditemui selepas Majlis Ibadah Korban dan Pengagihan Daging Korban kepada 500 penerima anjuran Jabatan Ketua Menteri di pekarangan tempat letak kereta Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya di sini pada Sabtu.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Negeri dan Persekutua­n dan Pemantauan Projek Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan tetamu kehormat lain.

Semalam, Ketua Pemuda Amanah Sarawak Mohamad Fadillah Sabali dalam satu kenyataan melahirkan rasa terkilan atas sekatan dikenakan terhadap Shazni yang juga pengarah Mobilisasi Pemuda Pakatan Harapan (Harapan) Malaysia itu.

Beliau menjelaska­n, tujuan Shazni memasuki Sarawak adalah untuk berjumpa ahli parti dan melibatkan diri dalam aktiviti parti yang merupakan salah satu daripada fungsi sistem demokrasi berparlime­n.

“Kerajaan Sarawak menggunaka­n kuasa di bawah Akta Imigresen atau apa-apa undang-undang yang lain terhadap yang bukan bersifat subversif dan tidak mengganggu kesejahter­aan rakyat Sarawak adalah sesuatu yang tidak munasabah,” tegasnya.

Beliau menganggap cara ini tidak membantu proses demokrasi berparlime­n berjalan dengan baik.

Menurut Fadillah, sebarang usaha menghalang tanpa sebab yang kukuh adalah tidak bersifat telus.

Justeru, beliau menegaskan bahawa Pemuda AMANAH Sarawak meminta Kerajaan Sarawak menyemak semula penggunaan undang-undang yang menyekat individu tertentu memasuki negeri ini.

Malah, beliau mahu senarai nama individu disekat itu dibersihka­n agar tujuan undang-undang ini dikuat kuasa dilihat menghormat­i sistem demokrasi berparlime­n dan memberi jaminan yang ia tidak disalah guna pada masa depan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia