Utusan Borneo (Sabah)

Alisson ‘penyelesai­an akhir’ yang hilang dari skuad Liverpool: Klopp

-

LIVERPOOL, England: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp percaya nilai 65 juta pound untuk penjaga golnya, Alisson Becker mungkin merupakan ‘penyelesai­an akhir’ untuk memberikan cabaran kejuaraan musim ini.

Penjaga gol antarabang­sa Brazil itu melakukan beberapa aksi tangkas terutama sekali menepis satu cubaan Pascal Gross dua minit sebelum tamat permainan untuk mengelak pintu golnya dibolosi untuk perlawanan ketiga berturuttu­rut sejak tiga dari AS Roma ketika Liverpool menewaskan Brighton 1-0 untuk melonjak ke tangga teratas Liga Perdana Inggeris Sabtu lepas.

Alisson juga beraksi tangkas menepis satu tendangan percuma Luka Milivojevi­c ketika menang 2-0 ke atas Crystal Palace sebelum ini tetapi Klopp tidak terlalu gembira dengan tendangan beliau ketika keluar dari posisinya untuk menangani satu serangan Brighton dalam separuh masa kedua.

“Ia kelihatan begitu,” kata Klopp apabila ditanya jika Alisson adalah penyelesai­an akhir yang hilang dari skuadnya yang melangkah ke final Liga Juara-Juara musim lepas tetapi tewas ekoran kesilapan penjaga gol Loris Karius.

“Tendangan percuma minggu lepas, tandukan hari ini. Saya tidak begitu suka dengan tendangan beliau apabila keluar dari posisi tetapi saya tidak pernah mempunyai seorang penjaga gol dari Brazil sebelum ini. Semuanya kelihatan bagus,” tambah Klopp.

“Beliau sememangny­a pembelian hebat untuk kami, dan kerana itu kenapa kami membawanya ke kelab.”

Dengan Manchester City seri 1-1 di Wolverhamp­ton pada perlawanan awal, Liverpool melonjak ke tangga teratas liga dengan sembilan mata maksima dari tiga perlawanan.

Namun Klopp menegaskan beliau tidak begitu ambil peduli dengan kedudukan liga di awal musim.

“Saya tidak begitu berminat dengan kedudukan liga. Kami hidup dalam dunia di mana kami tahu sebelum perlawanan di mana jika kami menang, kami akan berada di tangga teratas mungkin untuk dua minggu,” kata Klopp.

“Kedudukan liga tidak penting selepas hanya perlawanan ketiga, sembilan mata adalah penting. Saya amat mengharapk­an kepada pemain, saya seorang yang mendesak tetapi saya tahu kami boleh terus memperbaik­i prestasi. Untuk malam ini, semuanya bagus tetapi banyak usaha perlu dilakukan selepas ini.” – AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia