Penjawat awam tulang belakang negara, jalan tugas penuh integriti
Penjawat awam tulang belakang negara
SANDAKAN: Penjawat awam khususnya anggota beruniform merupakan tulang belakang negara selain memainkan peranan yang penting dalam pelaksanaan undangundang negara.
Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong menyeru golongan berkenaan agar menjalankan tugas yang diamanahkan secara berintegriti dan tanpa penyelewengan.
Katanya, isu-isu berkaitan penyalahgunaankuasa,pecah amanah, rasuah ataupun penyelewengan tidak patut dibiarkan berlaku.
Ia kerana katanya, perbuatan rasuah umpama kanser yang boleh merosakkan masyarakat dan negara.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidiladha Bersama Anggota Unit Beruniform Batu Sapi di perkarangan lot kedai Taman Vista, Jalan Lintas Sibuga, di sini pada Ahad.
Majlis anjuran Pusat Khidmat Rakyat Batu Sapi itu dihadiri kira-kira 300 wakil anggota unit beruniform.
Liew yang juga Ahli Parlimen Batu Sapi berkata kerajaan Pakatan Harapan akan terus komited dalam memerangi gejala rasuah dan tidak mengulangi kesilapan kerajaan terdahulu.
“Malah, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri melarang kerajaan terlibat dalam gejala rasuah sebaliknya perbuatan itu perlu dibendung sebelum berleluasa,” katanya.
Berikutan itu, pihak kerajaan telah pun mengemukakan beberapa inisiatif bagi menghalang penularan rasuah dalam kalangan rakyat termasuk penubuhanPusatGovernans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) yang memainkan peranan dalam menyelaras serta memantau semua aktiviti yang berkaitan.
Selain itu, Pejabat Perdana Menteri juga bertanggungjawab dalam merancang, menggubal dan menilai polisi negara untuk memastikan segala urusan kerajaan dilaksanakan tanpa penyelewengan dan perbuatan rasuah.
Dasar tidak terima hadiah juga dilaksanakan di peringkat akar umbi iaitu penjawat awam dan bakal melibatkan menteri sehingga setiausaha politik.
Mengenai majlis itu, Liew berkata ia bertujuan mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara pemimpin dengan anggota unit beruniform.
“Pengorbanan anggota unit beruniform terutamanya dalam bidang keselamatan amat besar bahkan negara tidak mungkin mencapai kemerdekaan tanpa mereka.
“Oleh itu, majlis diadakan untuk menghargai jasa serta pengorbanan anggota beruniform seperti polis, askar, Rela, bomba dan sebagainya,” katanya.
“Pengorbanan anggota unit beruniform terutamanya dalam bidang keselamatan amat besar bahkan negara tidak mungkin mencapai ” kemerdekaan tanpa mereka. DATUK LIEW VUI KEONG Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang)