SK Pegagau muncul juara Piala YBR-KPM
Kejohanan Bola Sepak 7S Bawah 11 Tahun YBR-KPM daerah Semporna
SEMPORNA: Pasukan bola sepak Sekolah Kebangsaan (SK) Pegagau muncul juara Kejohanan Bola Sepak 7 Sebelah (7S) Bawah 11 Tahun Piala Yayasan Bank Rakyat (YBR-KPM) peringkat daerah Semporna, di sini baru-baru ini.
Kejohanan tersebut ditaja sepenuhnya oleh pihak Yayasan Bank Rakyat dan dikelolakan oleh Unit Pembangunan Kemanusiaan (UPK/Unit Sukan) Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Semporna.
SK Pegagau menjuarai kejohanan itu selepas muncul juara Kumpulan B sebelum beraksi cemerlang dalam Divisyen 1 (kumpulan menang) melibatkan juarajuara Kumpulan A, B, C dan D.
Pada peringkat kumpulan, SK Pegagau membelasah pasukan SK Tg Kapor A 5 - 0 sebelum mengalahkan pasukan SK Terusan Tengah 4 - 1 untuk muncul juara kumpulan B dan seterusnya bersaing dengan pasukan SK Pekan 2, SK Tanjung Kapor A dan SK Berpusat Bum-bum dalam peringkat divisyen 1.
Naib johan keseluruhan disandang oleh pasukan SK Pekan 2 Semporna, manakala tempat ke-3 dan ke-4 masingmasing disandang oleh pasukan SK Tanjung Kapor A dan SK Berpusat Bumbum, Semporna.
SK Pegagau berjaya menghasilkan 16 gol dalam lima perlawanan sepanjang kejohanan itu selepas seri tanpa jaringan dengan pasukan SK Pekan 2, sebelum menundukkan SK Tanjung Kapor A 4 – 1 dan menewaskan SK Berpusat Bum-bum 1 – 0 pada perlawanan terakhir divisyen 1.
Ketua Unit Pembangunan Kemanusiaan (UPK) PPD Semporna, Zul Ahmad Kasuagi berkata sebanyak 11 pasukan mengambil menyertai kejohanan dua hari itu yang dijalankan secara liga dalam kumpulan dan dipertandingkan dalam dua pusingan (kumpulan dan divisyen 1, 2 dan 3).
Turut mengambil bahagian dalam kejohanan itu ialah SK Bangau-bangau, SK Bubul A dan B, SK Bugaya, SK Balimbang dan SK Tanjung Kapor B.
Katanya, kejohanan itu antara lain bertujuan mencungkil bakat dan potensi para pelajar dalam sukan bola sepak untuk diketengahkan ke peringkat seterusnya, sekali gus memilih pasukan sekolah untuk mewakili daerah Semporna ke Kejohanan Bola Sepak 7 Sebelah 2018 YBR-KPM peringkat negeri Sabah yang akan diadakan di Telupid pada 7 – 9 September depan.
Beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Bank Rakyat Semporna dan juga semua sekolah yang terlibat mengambil bahagian pada kejohanan itu yang kebanyakannya melibatkan murid Tahun 5 atau 11 tahun ke bawah.
Zul Ahmad yang juga Penyelia Sukan PPD Semporna merasmikan penutupan kejohanan itu manakala penyampaian hadiah dan sijil kepada para pemenang dan peserta kejohanan itu disempurnakan oleh wakil Bank Rakyat daerah Semporna.
Dalam pada itu, sebanyak 24 pasukan yang mewakili 24 daerah (PPD) seluruh Sabah dijangka mengambil bahagian pada kejohanan peringkat negeri di Telupid.
Pasukan yang mewakili setiap daerah merupakan pemenang di peringkat daerah masing-masing berdasarkan pasukan sekolah.
Selain SK Pegagau yang mewakili daerah Semporna, antara pasukan lain yang sudah mengesahkan tempat untuk mewakili daerah dan bersaing di peringkat negeri di Telupid (7 - 9 September) ialah SK Taman Rimba Sandakan, SK Pekan 2 Ranau, SK Pekan Menumbok Kuala Penyu, SK Likas Kota Kinabalu, SK Tambulion Kota Belud, SK Meligan Sipitang, SK Bandar Tawau, SK Silam Lahad Datu dan SK Tansau Penampang.