‘Pelangi Dunia GPM’
Irebeh Sabara antara 27 penulis buku ‘Guru Malaysia Mengubah Dunia’
‘ DARI Subis Ke Bologna Guru Malaysia Mengubah Dunia’ merupakan naskhah buku yang diterbit dan dilancarkan pada 3 Mei 2018 sempena Pesta Buku Antarabangsa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
Hasil kerjasama Literasi Resources bersama Urus Setia Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) juga menganjurkan Forum Amalan Terbaik Pusat Sumber Sekolah ketika pelancaran buku berkenaan.
Literasi Resources adalah penerbit buku ‘Dunia pusat sumber sekolah’
buat julung kalinya dan mendapat sambutan baik Guru Perpustakaan dan Media (GPM) yang bertanggungjawab terhadap pengurusan dan pengoperasian Pusat Sumber di sekolah.
Buku ini mengisahkan serta mengupas cerita tentang pengurusan dunia pusat sumber sekolah dan cabaran menjadikannya berfungsi dalam kalangan warga sekolah.
Seramai 27 panelis forum adalah dari penulis terdiri daripada Pengetua, Guru Besar, Guru Perpustakaan dan Media, Guru dan Pegawai Teknologi Pendidikan (PTP) dari seluruh pelosok tanah air, dari Sabah ke Tanah Malaya.
Peserta forum segmen B, (GPM dan Kepimpinan), Irebeh Sabara penulis ‘Pelangi Dunia GPM’
merupakan wakil tunggal GPM negeri Sabah berasal dari Lahad Datu dan kini bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Holy Trinity, Tawau.
Penulisannya telah digalur bersama penulisan lain dari seluruh negeri di Malaysia dan menghasilkan sebuah buku sulung untuk GPM.
Irebeh menegaskan, guru baharu atau lama bukan ukuran bagi diri seseorang yang inginkan kejayaan dan kepuasan dalam kerjaya diamanahkan.
Kegigihan, cekal, usaha dan tidak kenal erti malu dalam mencedok ilmu adalah kunci kejayaan bagi dirinya yang kini bergelar Guru Perpustakaan dan Media.
Beliau berkata, dalam tempoh masa tiga tahun, beliau telah berjaya menjadikan Pusat Sumber Sekolah SK Holy Trinity Tawau muncul sebagai calon verifikasi Anugerah Pusat Sumber Sekolah (APSS) Kebangsaan 2018.
Antara kejayaan digarap sepanjang tiga tahun, antaranya ialah johan APSS daerah Tawau kategori sekolah bandar pada 2016, johan APSS Zon Tenggara kategori sekolah bandar 2017 dan johan APSS kategori sekolah bandar peringkat negeri Sabah juga pada tahun 2017. ‘Pelangi Dunia GPM’
dipilih sebagai tajuk penulisannya sebagai simbolik tentang bidang tugasnya sebagai GPM yang mewakili rasa keperitan, kesengsaraan, suka duka, pahit manis, dan paling berharga bagi dirinya - banyak pengalaman baharu dipelajari sepanjang menjawat jawatan sebagai GPM.
Irebeh Sabara merupakan guru akademik biasa yang menjawat jawatan sebagai Guru Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) sebelum dilantik sebagai Guru Perpustakaan dan Media atau GPM pada 2015.
Perasaan ingin membuat perubahan terhadap bidang tugas kerja dan ingin melihat kepentingan, keberkesanan dan manfaat PSS terhadap murid atau pelajar, membuatkan beliau begitu teruja untuk mencalonkan dirinya sebagai GPM.
Selain itu, Irebeh Sabara juga berminat ingin merealisasikan ilmu Sarjana Pengurusan Pendidikan yang diperolehinya selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaysia Sabah (UMS) secara separuh masa.
Keinginan beliau dan sikapnya suka mencuba sesuatu yang baharu hingga berjaya, nekad, cekal, tekun dan tidak berkira dalam melaksanakan sesuatu tugas merupakan kunci kejayaan beliau dalam menghidupkan PSS SK Holy Trinity Tawau, sehingga berjaya meraih pelbagai anugerah di peringkat daerah tawau, bahagian/zon Tenggara dan juga peringkat negeri Sabah.
Irebeh berpendapat, seseorang GPM mestilah ‘muka tembok, jangan segan atau malu’ untuk bertanya ilmu GPM sama ada secara maya ataupun dunia nyata.
Beliau menjelaskan, buku berkenaan diterbitkan bertujuan berkongsi pengetahuan dan pengalaman tentang pengurusan pusat sumber sekolah serta dapat dijadikan iktibar kepada GPM yang sedang dan akan melaksanakan tanggungjawab diamanahkan.
Keterlibatan GPM dalam penulisan seumpamanya diharap dapat menjadi inspirasi bagi mereka berminat atau yang baru berkecimpung dalam dunia GPM sebagai motivasi dan pembakar semangat untuk terus berjuang demi menjadikan Pusat Sumber Sekolah berfungsi ke arah ‘kemenjadian murid’ di sekolah masing-masing.