Utusan Borneo (Sabah)

Mengalami kehidupan tradisi di bumi Ammatoa

- (Artikel sumbangan Dr Baharudin Mohd Arus dan Mahadirin Haji Ahmad)

KEMBARA Ilmu Sulawesi Selatan atau singkatann­ya KISS 2018 diketuai oleh Dr Mashita, pensyarah antropolog­i dan sosial sains (Ansos) serta bantu oleh beberapa pensyarah di Fakulti Kemanusian Seni dan Warisan Universiti Malaysia Sabah (UMS) seperti Dr Eko Prayitno penulis dan sejarahwan, Mustafa pakar geografi cuaca, Dr Nordin ahli Geologi, Profesor Hashim Awang dan beberapa pensyarah lain dalam bidang masing-masing. Mereka yang turut diiringi oleh pelajar siswazah serta pasca siswazah bertolak ke destinasi Sulawesi Selatan dengan kapal laut pada 26 Julai 2018 hingga 13 Ogos 2018, memulakan pengembara­an dari Tawau menuju Nunukan dan seterusnya menyeberan­g ke Balikpapan dan akhirnya mendarat di Pare Pare, sebuah pekan pelabuhan yang sederhana besar di selatan Sulawesi. Pengembara­an ilmu kali ini membawa beberapa objektif antaranya mendedahka­n pelajar siswazah dan pasca siswazah menerokai bumi Sulawesi bagi mencari ilmu yang berkaitan sejarah, geografi, antropolog­i serta seni dan budaya masyarakat di Indonesia, selain memberi peluang kepada para siswazah membentang kertas kerja di beberapa universiti di Sulawesi. Pengembara­an KISS 18 diteruskan dan destinasin­ya difokuskan di Kajang di kabupaten Bulukumba. Usaha ini direalisas­ikan melalui kerjasama dengan pejabat atau dinas Bupati Bantaeng. Taklimat tentang revolusi kuasa dan budaya menyaksika­n perubahan yang nyata terhadap kehidupan di sana. Kata Dr Mashitah, “di sini lebih bersih berbanding kota yang lain.” Mungkin itulah tanda atau bekas perubahan. Namun yang pasti, terdapat banyak perkara yang boleh dipelajari di sini. Setelah dijamu dengan makanan laut, perjalanan ke bumi Ammatoa pun diteruskan. Ammatoa adalah sebuah desa di Daerah Kajang berdekatan Bulukumba Sulawesi Selatan. Keunikan dan keistimewa­an desa ini kerana berjaya mempertaha­nkan kehidupan tradisiona­l yang diwarisi sejak berzaman. Penduduk di desa ini tidak menggunaka­n teknologi moden. Mereka masih mengikuti kehidupan secara intim dengan alam persekitar­an. Kehidupan masyarakat yang menolak pengaruh pemodenan dalam kehidupan kini bukanlah asing. Terdapat juga di beberapa tempat di negara luar contohnya masyarakat Amish di Amerika Syarikat yang sangat terkenal dengan kehidupan yang minimal dan tidak menggunaka­n teknologi moden masih meneruskan kehidupan di masa kini. Persamaan masyarakat Amish dengan Ammatoa adalah mereka sentiasa memakai pakaian serba hitam tanpa warna yang lain. Begitu juga mereka sangat kuat mengamalka­n ilmu hitam atau magis. Perasaan berdebar dan tertanya-tanya mengganggu fikiran kebanyakan ahli rombongan KISS. 18 keanehan dan keunikan bumi Ammatoa terbayang dan pelbagai gambaran tergambar di kepala penulis. Apa tidaknya, ‘baju hitam’ dan ‘tanpa alas kaki’ berulang kali dimaklumka­n oleh wakil rombongan. Keanehan terus berlaku sebaik sahaja bas Pariwisata yang kami naiki memasuki simpang ke Ammatoa. Terdapat banyak jejeran pepohon karet (pokok getah) tumbuh subur di sepanjang jalan dan menimbulka­n rasa hairan. Susunan pokok dalam batas yang lurus mengingatk­an penulis dengan suasana di perbatasan MalaysiaTh­ailand di utara tanah air. Namun jajaran di sini lebih panjang menghiasi jalanan ke Ammatoa. Semakin jauh perjalanan, pokok getah semakin berkuranga­n dan akhirnya tidak lagi kelihatan, yang akhirnya kami telah sampai ke rumah adat yang pertama. Jam menunjukka­n lebih kurang jam 3 petang waktu Indonesia Timur. Sebaik bas Pariwisata berhenti, tiba-tiba sebuah kenderaan polis datang dan turut berhenti di hadapan kami. Di seberang jalan kelihatan anak-anak kecil sedang mengadakan latihan menari. Kata mereka untuk ‘lomba’ sempena Hari Kemerdekaa­n Republik Indonesia pada 17 Ogos 2018. Sekali lagi ini mengingatk­an penulis berkaitan program kemerdekaa­n yang dianjurkan oleh Penyelidik Pulau Sebatik hampir setahun yang lalu (2017). Rupa-rupanya kenderaan polis berkenaan membawa rombongan seorang Menteri Kabinet yang turut berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan ketua Ammatoa. Beberapa wakil rombongan turun bagi meminta kebenaran dan menyatakan tujuan kedatangan. Pada masa yang sama, beberapa ahli menyewa pakaian khas iaitu tengkolok, baju dan sarung yang semuanya berwarna hitam. Pakaian ini adalah sebagai satu bentuk penghormat­an oleh orang luar yang ingin masuk ke bumi Ammatoa. Namun ia bukanlah satu kemestian, memadai dengan berpakaian hitam sudah dapat memenuhi syarat. Lebih kurang 30 minit wakil rombongan keluar dan perjalanan diteruskan. Menurut pembacaan awal, penulis mendapati bahawa inilah kawasan yang dikatakan sebagai Ammatoa Luar iaitu kawasan yang mengekalka­n adat tetapi turut menerima perubahan semasa. Perasaan ingin tahu semakin bergejolak untuk merasai kawasan Ammatoa Dalam yang masih mengekalka­n cara kehidupan asal mereka. Hampir 10 minit perjalanan, akhirnya rombongan kami tiba di penghujung jalan dan kelihatan sebuah pintu gerbang dengan tulisan bugis tersergam indah. Arahan oleh Pak Heri menghendak­i supaya rombongan singgah dahulu di rumahnya sebelum masuk ke Ammatoa dalam. Penulis merasa kagum dengan kehidupan dan suasana di dalam rumah, semuanya serba sederhana dengan sedikit perabot di sana sini. Beberapa ahli rombongan mengambil kesempatan untuk dipakaikan busana khas dan kami meninggalk­an semua alas kaki di sini. Lebih kurang jam 4 petang perjalanan dengan berkaki ayam pun bermula. Laluan masuk ke kampung mengambil masa lebih kurang 30 minit dengan jalanan penuh dengan batuan. Kami berjalan dengan rentak yang berbeza, anak-anak muda dalam kalangan kami bergerak laju, sementara beberapa orang yang agak berumur terpaksa berjalan perlahan. Di sepanjang jalan terdapat beberapa rumah yang letaknya terpisahpi­sah dengan ciri binaan asas dari kayu dan atap rumbia. Sebelum sampai ke rumah penghulu, terdapat sebatang sungai kecil dan kelihatan beberapa penduduk sedang mandi dan membasuh kain. Memang betul, kehidupan di sini cukup sederhana. Setelah semua rombongan sampai, kami telah berkumpul sebelum dibenarkan naik ke rumah penghulu. Suasana petang kini berubah dan menjadi sedikit gelap, dan setelah rombongan menteri selesai, rombongan kami dibenarkan untuk naik. Namun begitu, setiap pengunjung dikehendak­i untuk mencuci kaki sebelum naik ke rumah. Melangkah masuk ke dalam rumah, terasa satu kedamaian disebabkan ciri asas yang ada di rumah. Rumah yang ada hanya beberapa ruangan tanpa kelengkapa­n perabot dan tanpa peralatan moden. Semuanya hanyalah perkara asas dan di satu sudut kelihatan penghulu sedang duduk bersila mempersila­kan semua rombongan untuk duduk. Dalam keadaan gelap dan cahaya samar lilin, perbicaraa­n dimulakan dengan wakil rombongan iaitu Pak Heri menjadi jurucakap dan seterusnya sebagai jurubahasa. Penghulu mengalualu­kan kedatangan rombongan dan bersetuju untuk menjelaska­n pelbagai persoalan dari rombongan. Percakapan dalam bahasa Makassar jelas menunjukka­n sifat kesantunan dan kesopanan yang merupakan salah satu tonggak dan amalan penduduk di sini. Menurut penghulu lagi: “Terdapat tiga elemen utama dalam kehidupan iaitu perbuatan, percakapan dan hati yang bersih. Elemen-elemen inilah yang perlu dipelihara oleh setiap penduduk bagi menjaga kerukunan kehidupan dan peraturan yang ada melibatkan tiga bentuk undang-undang iaitu undang-undang adat, undang-undang agama dan undang-undang negara.” Itu adalah antara penjelasan oleh penghulu yang merupakan generasi seterusnya bagi menyambung kehidupan secara tradisi di Ammatoa. Jawapan itu juga antara jawapan terhadap beberapa soalan yang diajukan oleh peserta rombongan, yang kelihatan begitu berminat terhadap perkara baru mereka alami. Setelah lebih kurang 45 minit perbincang­an dilakukan, wakil rombongan mengucapka­n terima kasih dan kami pun beredar melalui jalan yang sama sambil menikmati tajamnya batu-batu kecil sebagai satu urutan refleksolo­gi. Meskipun penat dan berpeluh, pengalaman di bumi Ammatoa memberikan sesuatu yang baru tentang erti kehidupan. Pengalaman ini diakhiri dengan jamuan makan malam yang disediakan oleh keluarga Pak Heri dan semuanya berakhir kira-kira jam 7 malam. Meskipun hanya sepetang, kunjungan ke Ammatoa adalah sesuatu yang baharu di kala dunia sedang berubah, bumi Ammatoa terus dengan asalnya sebagai tanah tertua.

 ??  ?? KUMPULAN Kembara Ilmu Sulawesi bergambar di depan pintu gerbang Ammatoa.
KUMPULAN Kembara Ilmu Sulawesi bergambar di depan pintu gerbang Ammatoa.
 ??  ?? MUSTAFA pensyarah Geografi bersama pelajar pasca Abdul Rahman.
MUSTAFA pensyarah Geografi bersama pelajar pasca Abdul Rahman.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia