Indonesia, Sri Lanka lancar latihan evakuasi tsunami
MEULABOH: Pelajar sekolah tinggi di Indonesia lari ke tempat lebih tinggi apabila penggera amaran tsunami berbunyi semalam, untuk melancarkan latihan evakuasi di seluruh wilayah berkenaan yang dimusnahkan oleh bencana pada 2004 yang mengorbankan lebih 200,000 nyawa.
Latihan itu melakonkan gempa bumi dengan magnitud 9.3 di perairan pantai barat Pulau Sumatra, Indonesia.
Sebanyak 24 negara yang bersempadan dengan Lautan Hindi, dari Australia hingga ke Yaman, mengambil bahagian dalam latihan kesiapsiagaan bencana yang diadakan sekali setiap dua tahun itu.
Latihan yang dianjurkan oleh Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (PBB) itu menyaksikan kira-kira 125 pelajar di Meulaboh – sebuah bandar tepi pantai dalam wilayah Aceh yang teruk dibadai oleh bencana pada 2004 – bersembunyi di bawah meja mereka apabila gempa bumi olok-olok berlaku sebelum mereka lari ke kawasan lapang selepas gegaran berhenti.
Kumpulan itu kemudian lari ke kawasan lebih tinggi apabila penggera tsunami berbunyi, dan beberapa komuniti lain di seluruh negara turut menyertai ‘Exercise Indian Ocean Wave 2018’.
Indonesia merupakan salah sebuah negara yang paling cenderung mengalami bencana di bumi.
Negara kepulauan itu terletak di atas ‘Lingkaran Api’ Pasifik di mana dataran tektonik bertembung dan banyak letusan gunung berapi dan gempa bumi berlaku.
Pada Disember 2004, tsunami yang dicetuskan oleh gempa bumi dengan magnitud 9.3 di perairan pantai Sumatra, mengorbankan 220,000 orang di negaranegara sekitar Lautan Hindi, termasuk 168,000 warga Indonesia, kebanyakannya di Aceh.
Agensi meteorologi, klimatologi dan geofizik ( (BMKG) Indonesia menyertai latihan terbaharu, bertujuan untuk memberi peluang kepada negara-negara bagi menguji prosedur operasi mereka, komunikasi dan kesiapsiagaan evakuasi.
“Latihan ini akan memberi gambaran yang bernilai kepada kita tentang cara kita dapat menambah baik sistem kesiapsiagaan bencana kita,” kata Rahmat Triyono, ketua bahagian gempa bumi dan tsunami BMKG di satu taklimat media semalam.
Lebih 60,000 orang di seluruh rantau berkenaan menyertai evakuasi komuniti dalam latihan terakhir pada 2016, kata PBB.
Sri Lanka – yang kehilangan 30,000 orang dalam bencana pada 2004 – menjalankan latihan evakuasi di tiga daerah tepi pantai semalam.
“Sasaran kami adalah untuk memastikan kami melengkapkan evakuasi di kawasan pantai dalam masa 10 minit selepas penggera berbunyi,” kata Menteri Pengurusan Bencana Duminda Dissanayake kelmarin.
“Kami mahu mengurangkan masa itu kepada kira-kira tujuh minit.”
Latihan itu bermula dengan salah apabila amaran tsunami dikeluarkan sebelum pengumuman tentang “gempa bumi” di Indonesia.
Menara amaran tsunami di daerah pantai selatan Galle menyiarkan pembetulan.
Beberapa minit kemudian, ia mengikuti urutan yang telah dirancang lebih awal iaitu mula-mula mengumumkan gempa bumi dan kemudian mengeluarkan perintah evakuasi tsunami.
Puluhan pekerja hotel dan kanak-kanak sekolah meninggalkan premis di daerah Galle dan pergi ke kawasan tinggi yang ditetapkan, dibimbing oleh pegawai pengurusan bencana.
Latihan semalam diadakan serentak dengan satu rapat umum antikerajaan di Colombo. Menteri Dissanayake menolak dakwaan bahawa latihan itu diadakan untuk mensabotaj rapat umum tersebut, dan berkata tarikh ditetapkan oleh PBB. — AFP