Utusan Borneo (Sabah)

Jadikan Inggeris bahasa komunikasi bukan pengantar

-

KUCHING: Bahasa Inggeris boleh menjadi bahasa komunikasi di sekolah kebangsaan tetapi bukan sebagai bahasa pengantar.

Perkara itu dinyatakan Yang Dipertua Mimbar Permuafaka­tan Ibu Bapa Malaysia (MAPIM) Sarawak Omar Immun sambil menambah, bahasa Melayu diyakini telah mencapai taraf bahasa kebangsaan terutama dengan kedudukann­ya sebagai bahasa diplomatik dan lingua franca.

Beliau menambah, bahasa Melayu juga merupakan bahasa perdaganga­n sedunia, bahasa penyebaran agama besar di dunia dan bahasa sastera pada abad ke-16 dan ke-17.

“MAPIM Sarawak menyokong seandainya bahasa Inggeris dijadikan bahasa komunikasi di sekolahsek­olah (kebangsaan) di Sarawak tetapi bukannya sebagai bahasa pengantar,” katanya kepada Utusan Borneo pada Ahad.

Menurut Omar, MAPIM Sarawak terus mendukung serta menyokong agar bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar wajib di sekolah.

Katanya sistem pendidikan negara telah disediakan dengan menjadikan bahasa Melayu bahasa pengantar di sekolah, kurikulum sama dan sukatan pelajaran serta peperiksaa­n yang seragam.

Maka katanya, sewajarnya bahasa Melayu terus kekal menjadi bahasa pengantar wajib kerana ia sudah lama digunakan sebagai bahasa pengantar sebelum dijadikan bahasa kebangsaan.

Bahasa Melayu di Malaysia katanya, menjadi bahasa pengantar antara kaum yang berbeza-beza terutama bagi mereka yang tidak bersekolah di sekolah mengajar bahasa Inggeris.

“Saya ambil contoh dari segi bahasa pertuturan masyarakat di Sarawak yang berbilang kaum seperti Melayu, Melanau, Cina, Iban, Bidayuh dan banyak lagi kaum lain, apabila berkumpul sesama mereka, bahasa pilihan utama sudah tentunya bahasa Melayu kerana ia jelas bahasa pertuturan dan difahami semua.

“Keadaan ini berlaku di semua negeri dalam negara Malaysia,” ujarnya.

Omar yang juga Ketua Penerangan MAPIM Kebangsaan berkata majoriti keluarga berbangsa Melayu sudah tentu bertutur bahasa Melayu apabila di rumah bersama keluarga dan landskap itu sudah lama begitu dan untuk mengubahny­a adalah sesuatu yang mustahil.

Justeru ujarnya, mengubah bahasa pengantar di sekolah daripada bahasa Melayu kepada bahasa selainnya tidak mendukung aspirasi nasional untuk kesejahter­aan kaum dan keharmonia­n masyarakat.

“Kementeria­n Pendidikan ada menjelaska­n dalam jawapan bertulisny­a (menjawab soalan Ahli Parlimen Batang Sadong Datuk Seri Nancy Shukri) bahawa cadangan tersebut adalah mencabuli Perkara 152 (1) Perlembaga­an Persekutua­n dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67. Dan ia juga melanggar surat dan semangat Akta Pendidikan 1996.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia