Persatuan Cina mahu PH rancang banyak aktiviti ekonomi
MIRI: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) digesa melaksanakan lebih banyak aktiviti ekonomi yang menguntungkan dalam usaha mengatasi krisis kewangan yang dihadapi negara sekarang.
Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Bahagian Miri Hii Teck Yun berkata, ekonomi aktif membantu meningkatkan pendapatan rakyat dan bertambahnya peluang pekerjaan ditawarkan pelbagai sektor.
‘Kita berharap kerajaan baharu akan membawa babak baharu dalam pentadbiran dan ekonomi negara serta memberi harapan baharu kepada rakyat,” jelasnya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan persekutuan berkenaan pada Ahad.
Dalam ucapannya, Hii meminta PH menunaikan janji-janji yang dibuat dalam manifestoPilihanRayaUmum Ke-14 (PRU14) lalu setelah berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan memegang tampuk pemerintahan.
Ia termasuk mengiktiraf kelulusan UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu) dan menimbang semula cadangan penubuhan Sekolah Wawasan.
Dalam pada itu, Hii menggesa ahli untuk terus bersatu memperkasakan suara persekutuan menyuarakan masalah dan mengutarakan cadangan kepada kerajaan negeri dan Pusat.
“Saya amat percaya dengan perpaduan, persekutuan kita akan mencapai pencapaian yang cemerlang pada masa akan datang,” jelasnya.
Mengenai projek kompleks komersial Persekutuan, tender dibuka untuk syarikat kontraktor untuk pembinaan bangunan bernilai RM200 juta. Pembinaannya melambangkan perpaduan dan solidariti persatuanpersatuan Cina di bahagian Miri.
“Kita telah lama mengimpikan pembinaan kompleks ini. Kita berharap ia akan dilaksanakan dengan segera,” katanya.
Berkonsep hijau, kompleks memiliki apartmen, pejabat dan lot kedai dibina di tapak seluas empat setengah ekar di Jalan Jee Foh.
Ia turut menempatkan lapan persatuan iaitu Persatuan Klan Lau Miri, Persatuan Klan Tian Miri, Miri Musical Society, Miri Rainbow Chorus Society, Persatuan Perubatan Miri, Persatuan Kejuruteraan Sivil Miri, KL Brilliant Eng Construction Sdn Bhd dan Persatuan Lung Hiung Wong.
Bangunan akan menukar wajah kawasan perumahan Jee Foh menjadi lebih moden dengan aktifnya aktiviti perniagaan, riadah dan rekreasi serta menambah seri Miri sebagai pusat peranginan.
“Kompleks ini kelak akan menjadi mercu tanda baharu di bandar raya Miri dan kebanggaan masyarakat Cina di sini,” jelasnya.