Jabatan Pendidikan Labuan mampu bantu tingkat industri pelancongan
LABUAN: Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Pesekutuan Labuan Raisin Saidin optimis jabatan itu mampu membantu meningkatkan industri pelancongan di pulau ini melalui menjadi tuan rumah kepada bengkel, seminar mahupun persidangan antarabangsa dalam bidang pendidikan. Justeru, dengan kehadiran para peserta dari dalam dan luar negeri mampu membantu mengalakkan lagi sektor pelancongan di pulau bebas cukai ini dan secara tidak langsung memperkenalkan Labuan kepada masyarakat luar dan dalam Malaysia. Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Menyambut Peserta Bengkel Kerja ‘Leadership Development Programme’ di salah sebuah restoran terkemuka di sini, malam Rabu. Bengkel yang diadakan di Bangunan Ujana Kewangan Labuan mulai 19 hingga 21 September itu telah mengundang para peserta dari Sabah, Sarawak serta Labuan sebagai tuan rumah. Raisin berharap agar para peserta bengkel dapat memanfaatkan segala ilmu dan pendapat melalui bengkel itu dan pada masa yang sama, mereka dapat mempromosikan lagi keindahan Labuan kepada rakan yang lain apabila pulang ke negeri masing-masing. “Sesungguhnya, Labuan berpotensi untuk diadakan pelbagai bengkel mahupun seminar disebabkan kedudukannya sebuah pulau yang kemudahan logistik adalah mudah di samping banyak tempat yang menarik untuk dilawati,” katanya. Turut hadir pada makan malam itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Labuan Awang Marten Abdul Rahman serta Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Hasbullah Amit.