Malaysia ketuai perbincangan tiga jenayah rentas sempadan SOMTC ke-18
PUTRAJAYA:Malaysia akan mengetuai perbincangan tiga jenayah rentas sempadan utama iaitu penyeludupan manusia, aktiviti pelanunan di laut dan pengubahan wang haram pada Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Asean Mengenai Jenayah Rentas Sempadan dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan (SOMTC) ke-18.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman berkata pada masa sama, Malaysia akan turut terlibat dalam perbincangan tujuh lagi jenayah rentas sempadan iaitu keganasan, jenayah siber, penyeludupan dadah, jenayah ekonomi antarabangsa, penyeludupan senjata api, penyeludupan hidupan liar dan balak.
“Pada mesyuarat kali ini, Malaysia merupakan ‘voluntary Lead Shepherd’ (pengerusi sukarela) dalam bidang jenayah penyeludupan manusia, aktiviti pelanunan di laut dan pengubahan wang haram. Bagaimanapun, Malaysia juga akan menyertai perbincangan dan memberi input bagi bidang-bidang lain bersama negara Asean dan juga rakan-rakan dialog yang lain.
“Kami berharap mesyuarat kali ini akan membantu mencari jalan untuk mengatasi jenayah rentas sempadan. Kami akan cuba sedaya upaya untuk meminimumkan masalah terbabit,” katanya pada sidang media selepas merasmikan SOMTC ke-18 di sini, pada Selasa.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim.
Bertemakan “Ensuring Security, Peace and Prosperity of Asean” (Memastikan Keselamatan, Keamanan dan Kemakmuran Asean), SOMTC ke-18 menjadi platform utama perbincangan mengenai isuisu keselamatan di peringkat rantau bermula Selasa sehingga 28 Sept.
Mohd Azis berkata hasil SOMTC akan dibentangkan kepada Mesyuarat Menteri-menteri Asean mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) yang dijadualkan di Myanmar pada penghujung bulan depan.
SOMTC ke-18 ini dihadiri lebih 221 delegasi dari negara-negara Asean dan juga pegawai-pegawai dari 10 negara rakan dialog iaitu Australia, Kanada, China, India, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Rusia dan Amerika Syarikat serta Kesatuan Eropah.Bernama