419 pelajar tingkatan 5 dan 6 SMK Datuk Pg Galpam diraikan
SANDAKAN: Seramai 419 pelajar Tingkatan Lima dan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Pengiran Galpam diraikan bersempena Majlis Graduasi dan Taman Persekolahan Aliran Perdana 2018 di Dewan Masyarakat Sandakan, pada Khamis.
Seramai 257 merupakan Tingkatan Enam (Mod Dua) dan 162 lagi adalah pelajar Tingkatan Lima.
Majlis ini turut dihadiri Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Sekolah itu Masniah Nawawi, PengetuaSMKDatukPengiran Galpam Hussein Abdul Manaf, para pensyarah, guru aliran Perdana dan ibu bapa.
Seramai tiga pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) semester satu dan semester dua telah diberi pengiktirafan dan penghargaan dalam majlis itu.
Mereka ialah Mohd Hafizi Hussne (Semester Satu: 3A,1B-), Adibah Syahirah Rahmat Effandi (Semester Dua: 3A, 1B-) dan Kong Kah Yee Ellis (Semester Satu:1A,1B+,1B,1C ), (Semester Dua:1A, 2A-, 1B-).
Majlis graduasi ini telah disempurnakan oleh Hussein dan dalam ucapannya beliau berkata selepas pelajar menamatkan sesi persekolahan di tingkatan lima dan tingkatan enam, para pelajar akan mulai menempuh kehidupan yang lebih mencabar.
Justeru, katanya, nilai-nilai murni yang disemaikan dalam sanubari pelajar pada masa sekolah perlu diamalkan demi keharmonian masyarakat.
Untuk itu, katanya, pelajar perlu mempunyai semangat perjuangan yang murni dan kekuatan iman bagi meneruskan perjalanan kehidupan yang mencabar ini.