Jadikan sukan sebagai kerjaya
TENOM: Masyarakat dinasihatkan supaya mengikis pandangan negatif bahawa aktiviti sukan merupakan kegiatan yang membuang masa, malah bidang itu mampu dijadikan sebagai kerjaya yang boleh menjamin masa depan.
Pemimpin Kemajuan Masyarakat (PPM) Kemabong Burnley Balang berkata, bidang sukan bukan sekadar aktiviti untuk mengisi masa lapang dan penjagaan kesihatan, malah sebagai ‘industri’ yang menyediakan banyak peluang pekerjaan yang berkait rapat dengan kerjaya lain.
Beliau berkata, ramai yang tidak menyedari bidang sukan mempunyai skop kerjaya yang cukup luas untuk diceburi oleh semua peringkat umur merangkumi bidang perniagaan, pengurusan dan kejurulatihan, bukan sekadar untuk menjadi atlet dalam permainan tertentu sahaja.
“Mungkin hanya segelintir daripada kita yang mampu untuk menjadi atlet, namun ruang masih terbuka kepada mereka yang kurang berbakat menjadikan bidang lain yang berkaitan dengan sukan sebagai kerjaya,”katanya ketika ditemui selepas mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemabong Jamawi Jaafar merasmikan Kejohanan Olahraga MSS Zon 3 Entabuan Ke-49 di Kompleks Sukan Tenom di sini pada Rabu.
Beliau berkata, kerajaan turut memberi penekanan terhadap bidang sukan dalam kalangan pelajar menerusi pelaksanaan Program 1 Murid 1 Sukan di samping pelbagai program lain di peringkat yang lebih tinggi bagi memberi ruang lebih ramai rakyat melibatkan diri dalam bidang tersebut.
Dalam pada itu Burnley berkata komitmen Wakil Rakyat Kawasan Kembong Jamawi Jaafar dalam menyemarakkan kegiatan dan budayadikalanganmasyarakat bersukan di daerah ini begitu jelas dengan menganjurkan pelbagai program sukan antaranya penubuhan JJ Football Club (JJFC).
Menurut beliau kelab yang dipengerusikan sendiri oleh Jamawi ini turut mengadakan pelbagai program antaranya klinik bola sepak di kalangan pelajar sekolah belia dan beliawanis.
“Matlamatnya selain mendedahkan pengalaman ianya juga bertujuan sebagai medan mencari bakat bakat baharu dalam bidang sukan bola sepak untuk diketengahkan sehingga peringkat negeri, kebangsaan dan seterusnya, “katanya.