Proses kelulusan permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A harus dipercepatkan
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan memohon kepada Putrajaya untuk mempercepatkan proses kelulusan permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A iaitu bagi kanak-kanak di bawah umur 21 tahun supaya diberi pertimbangan khas bagi memudahkan mereka bersekolah.
Sehubungan itu, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan KanakKanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata beliau akan mengadakan kunjungan hormat terhadap Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi tujuan tersebut.
“Seperti tahun-tahun sebelum ini, proses kelulusan permohonan kewarganegaran mengambil masa yang sangat lama iaitu sehingga lima tahun.
“Kita tidak mahu ini terus berlaku kerana ia menjejaskangolongankanakkanak ini terutama dari segi pendidikan dan masa depan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Peringkat Sarawak di pejabatnya di Wisma Baitulmakmur di sini pada Rabu.
Turut hadir Menteri Muda Wanita, Keluarga dan PembangunanKanak-Kanak Rosey Yunus, Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak Jasni Jubli dan Presiden Kesatuan Guru Sarawak Macky Joseph.
Menurut Fatimah, kelulusan permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A untuk Sarawak adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri, bukannya oleh Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Peringkat Sarawak.
Katanya kelulusan segera permohonan kewarganegaraan itu sangat perlu bagi membolehkan kanak-kanak dalam usia pelajar itu dapat menjalani persekolahan dengan mudah.
Selain itu, katanya ia juga membantu mereka menerima kemudahan persekolahan serta memastikan mereka mendapat akses kepada bantuan kerajaan seperti bantuan prasekolah, buku teks percuma, bantuan kebajikan termasuk kemudahan perubatan di hospital dan klinik kerajaan.
Fatimah berkata setakat Oktober tahun ini, sebanyak 321 permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A telah diterima oleh Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan di bawahPerkara15APeringkat Sarawak untuk dibentangkan kepada Kementerian Dalam Negeri.
Beliau menjelaskan Permohonan Kewarganegaraan di bawah Perkara 15A adalah melibatkan kanak-kanak di bawah umur 21 tahun, yang tidak mempunyai taraf kewarganegaraan dengan antara faktornya adalah ibu atau bapa mereka merupakan warga asing.
“Setakat tahun ini, tiada permohonan yang telah diluluskan dan oleh sebab itu, kita mahu proses kelulusan oleh Kementerian Dalam Negeri dapat dipercepatkan,” ujarnya.
Manakala bagi permohonan yang telah dibentang mulai November 2016 hingga Ogos 2017, sebanyak 95 daripada 190 permohonan telah diluluskan.