Kerajaan perlu kurangkan cabaran dihadapi peniaga dalam pelaksanaan SST
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengurangkan beberapa cabaran yang dihadapi oleh perniagaan dalam melaksanakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kata Ernst & Young (EY).
Dalam satu kenyataan mengenai harapannya untuk Bajet 2019, firma perundingan cukai itu berkata, antara lain, kerajaan boleh menetapkan rangka kerja untuk pengecualian pukal dan memperkenal mekanisme untuk mengelak senario cukai ke atas cukai, di mana cukai perkhidmatan boleh dikenakan dua kali ke atas satu perkhidmatan yang boleh dikenakan cukai.
Langkah-langkah lain yang disyorkan EY ialah menyeragamkan SST terhadap barangan dan perkhidmatan, dengan undang-undang dan panduan tambahan diperhalusi agar selaras dengan Akta SST dan menambah baik Portal MySST untuk menyediakan antara muka yang mudah diakses dan mesra pengguna untuk mana-mana aktiviti berkaitan SST seperti penyerahan pulangan, pembayaran dan permohonan untuk pengecualian.
EY berharap kerajaan memperkenalkan cukai ke atas perkhidmatan digital perniagaan kepada pengguna yang dibekalkan oleh pembekal luar negara berikutan pertumbuhan pesat ekonomi digital dan e-dagang di Malaysia, sambil menambah ini akan menyumbangkan hasil cukai tambahan.
Ia juga berharap Bajet 2019 akan memberi tumpuan lebih kepada dasar pentadbiran cukai yang akan memberi ketelusan, kepastian dan penyampaian yang berkesan.
“Satu bidang yang perlu ditangani ialah kepantasan memproses pemulangan cukai, rayuan cukai dan memuktamadkan pulangan cukai. Kelewatan dalam proses pembayaran balik boleh menyebabkan ketidakpastian dan menjejaskan aliran tunai dan perancangan untuk perniagaan,” kata EY.
Satu lagi pertimbangan utama ialah pengeluaran segera ketetapan cukai dan pewartaan perundangan, tambahnya.
EY juga mahu kerajaan memberikan kepastian dan kejelasan mengenai cukai tertentu, terutama dari segi implikasi cukai pegangan, pemotongan perbelanjaan, dan sama ada sesuatu transaksi itu tertakluk kepada cukai pendapatan atau cukai keuntungan hartanah.
Satu lagi perkara yang perlu diperhatikan, tambahnya, memberikan panduan yang jelas dan pelaksanaan dasar cukai yang menggalakkan yang mendorong pertumbuhan sektor atau industri tertentu.
Satu lagi bidang yang perlu diperhatikan, tambahnya, ialah memberikan panduan yang jelas dan pelaksanaan cekap dasar cukai yang menggalakkan pertumbuhan sektor atau industri tertentu.
Mengenai sektor harta tanah, EY mencadangkan pengenalan beberapa langkah dan inisiatif untuk menangani masalah kemampuan memiliki perumahan serta ketidakseimbangan dan kelebihan penawaran bagi segmen ruang pejabat dan pasaran runcit.
“Kerajaan boleh, antara lain, memperkenal beberapa langkah untuk mengawal harga hartanah; memperkenal semula pelepasan peribadi atas faedah pinjaman perumahan yang diperkenalkan efektif daripada tahun taksiran 2009 untuk tiga tahun taksiran berturut-turut bagi menggalak generasi muda memiliki rumah di Malaysia; dan bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia untuk mengkaji syarat pinjaman perumahan untuk pembeli rumah kali pertama,” katanya. — Bernama