Himpunan Keluarga Aki Singkotod meriah
MATUNGGONG: Tinggal berjauhan dan ada juga yang sudah beralih anutan agama, tidak menghalang tujuh generasi Aki Singkotod untuk berhimpun dan seterusnya memperkukuh dan memesrakan hubungan yang sedia ada.
Kampung Mompilis, Matunggong menjadi venue kepada himpunan tujuh generasi itu dan ia merupakan himpunan kali ketiga pernah dianjurkan. Ternyata daripada yang kecil sehinggalah yang dewasa, sambutan Hari Keluarga Rurugan Aki Singkotod itu diraikan dengan penuh kemeriahan.
“Himpunan ini merupakan ruang kepada kami untuk mengeratkan hubungan yang sedia ada dan memperkembangkannya kepada generasi akan datang,” kata Norhayati Au, salah seorang generasi ketujuh Aki Singkotod.
Norhayati yang kini beragama Islam dan sebelum ini dikenali sebagai Au Nyuk Chin memberitahu kehadiran tujuh generasi itu amat mengharukan.
Menurutnya meskipun masih ada yang gagal untuk hadir pada sambutan hari keluarga itu, tetapi kemeriahannya tetap dirasai.
“Himpunan keluarga itu penting untuk kita mengeratkan hubungan kekeluargaan tetapi yang penting adalah generasi muda untuk saling kenal mengenali,” katanya.
Beliau berkata ada generasi yang bukan sahaja tidak mengenali sanak saudara tetapi juga asal keturunannya.
Katanya usaha mendekatkan generasi muda dengan keturunannya memang perlu dilakukan oleh generasi lama dan himpunan itu merupakan salah satu caranya.
“Saya membawa anak-anak kerana mahu mereka kenal siapa sanak saudara mereka,” katanya dan menambah, generasi muda tidak boleh dipersalahkan sebaliknya tanggungjawab itu perlu dilakukan oleh generasi lama.
“Kita perlu kenalkan mereka (anak-anak) siapa datuk, nenek, pakcik, makcik dan sepupu… malah moyang mereka juga perlu diberitahu. Semua ini kerana kita mahu mereka tahu asal keturunan mereka,” katanya.
Pada sambutan kali ini, tujuh generasi itu dipecahkan kepada Rurugan Aki Gumbaling, Rurugan Odu Intomu, Aki Bolingad dan Aki Aga.
Bagi mempermudahkan generasi untuk kenalmengenali, ahli kepada Aki Gumbaling memakai baju merah sementara Odu Intomu pula memakai baju kuning. Ahli Aki Bolingad dan Aki Aga pula, masing-masing memakai baju berwarna hijau dan biru.
“Cara ini memudahkan anakanak kita untuk mengenali keturunan mereka seperti datuk, nenek, pakcik, makcik, sepupu serta ahli keluarga mereka,” kata Norhayati.
Pelbagai acara diadakan sempena sambutan hari keluarga itu di mana hadiah yang disediakan adalah disumbangkan oleh ahli keluarga.
Antara acara itu termasuklah ratu fesyen kanak-kanak, cabutan tiket bertuah dan mongigol sumundai.