Wujudkan mekanisme harga lantai sawit agar nasib pekebun kecil dijaga
TREND kejatuhan harga jualan komoditi sawit menimbulkan keresahan dalam kalangan warga Felda apabila anggaran pendapatan bersih diperoleh mereka merosot teruk sehingga ada yang hanya mampu meraih antara RM300 hingga RM900 sebulan, perlu dipandang serius oleh kerajaan.
Keadaan ini diburukkan lagi apabila harga sawit ketika ini iaitu purata kira-kira RM400 satu tan metrik, turut berkurang pada masa ini dengan hanya mampu mengambil buah sekali sahaja dalam bulan ini sekali gus menyebabkan kebanyakan pekebun kecil sawit terpaksa mengikat perut untuk menyara kehidupan.
Sehubungan itu, Timbalan Ketua Peneroka Felda Kebangsaan Sulong Jamil Mohd Shariff mencadangkan supaya kerajaan mewujud dan menyegerakan mekanisme terbaik iaitu melaksanakan penetapan harga lantai sawit dan juga getah supaya pendapatan penggerak utama industri yang bernilai berbilion ringgit iaitu keseluruhan 680,000 pekebun kecil sawit seluruh negara lebih stabil dan terjamin.
Bercakap kepada Bernama, beliau yang juga peneroka generasi pertama Felda Sungai Behrang berkata kerajaan harus melihat akan permasalahan itu kerana selepas ditolak dengan pelbagai kos operasi lain seperti pengangkutan, baja, racun, upah memotong buah sawit serta hutang pinjaman Felda, peneroka hanya sekadar cukup-cukup makan dan mungkin terdapat peneroka yang sukar meneruskan kehidupan kerana mempunyai pelbagai tanggungan yang harus dilangsaikan.
“Harga sawit ketika ini terlalu rendah iaitu kira-kira RM400 bagi satu tan metrik berbanding minimum purata RM500 hingga RM700 satu tan sebelum ini. Begitu juga dengan harga getah sekerap ketika ini terlalu rendah iaitu bawah RM2 sekilogram. Jadi jika pendapatan purata diperoleh peneroka setiap bulan adalah di bawah RM1,000, apa keluarga mereka hendak makan?
Jadi kita cadangkan satu mekanisme hendaklah diwujudkan kerajaan supaya harga lantai ini dapat dilaksanakan pada kadar RM500 satu tan metrik bagi sawit dan RM3 sekilogram bagi getah, iaitu paras yang paling munasabah jika diambil kira kos yang telah dikeluarkan pekebun kecil,” katanya yang turut meminta kerajaan berusaha lebih keras tingkatkan peluang pasaran eksport sawit ke negara-negara lain supaya harga sawit kembali berada di paras sewajarnya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pembentangan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada semalam berhubung penempatan Felda di mana kerajaan akan menyediakan sejumlah peruntukan menaiktaraf infrastruktur selain menyalurkan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi membantu semua pekebun kecil mendapatkan pengiktirafan Pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO), demi memastikan kebolehpasaran hasil tanaman
Selain itu, Guan Eng turut mengumumkan dalam usaha meningkatkan permintaan kelapa sawit, kerajaan akan melaksanakan Program Biodiesel B10 iaitu campuran 10 peratus kandungan minyak kelapa sawit bagi sektor pengangkutan dan B7 untuk sektor industri pada tahun 2019.
Jelas Sulong Jamil, pihaknya sememangnya menyambut baik Belanjawan 2019 kerana kerajaan kini masih tidak melupakan peranan dan jasa Felda serta meneruskan kesinambungan yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu.
Dalam pada itu, Sulong Jamil turut menyarankan kerajaan melonggarkan agensi kerajaan yang berkaitan untuk masuk ke tanah rancangan Felda bagi membantu menyelesaikan projek Perumahan Generasi Baharu yang kini dikelaskan sebagai tergendala.
“Kita harap kerajaan melonggarkan syarat itu dan seterusnya membuka ruang kepada agensi kerajaan seperti Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) untuk membantu Felda dalam meneruskan projek perumahan generasi kedua selain mempertingkatkan lagi kerjasama dengan kerajaan negeri,” katanya.- Bernama